Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Burkina Faso Bina Akademi RM257 Juta Tanpa Hutang, Mahu Kurangkan Kebergantungan Teknologi Asing

Burkina Faso Bangun Akademi Teknologi
Kredit: X @presidencebf

Presiden Burkina Faso, Ibrahim Traoré melancarkan sebuah akademi teknologi bernilai 37.37 billion CFA (RM257 juta) yang dibina sepenuhnya menggunakan peruntukan negara tanpa membuat sebarang pinjaman.

Akademi Teknologi Faso atau Académie Technologique du Faso (ATF) itu yang terletak di Pabré, pinggir ibu negara Ouagadougou, mula beroperasi pada 23 November 2026 dan telah menerima kumpulan pertama seramai 250 pelajar.

Lebih membanggakan, pembinaan fasa pertama akademi seluas 60 hektar itu disiapkan dalam tempoh kurang setahun oleh 11 syarikat tempatan sejak kerja pembinaan bermula pada Disember 2025.

Pelaburan RM257 juta itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pendidikan sains dan melahirkan tenaga mahir bagi menyokong industri tenaga, perlombongan, pembuatan serta pertahanan negara.

Burkina Faso Bina Akademi Teknologi Tanpa Berhutang

Menerusi akademi berkenaan, pelajar akan mengikuti pengajian persediaan selama dua tahun sebelum memilih pengkhususan dalam bidang kejuruteraan nuklear, penerbangan, perlombongan, metalurgi, telekomunikasi, sains komputer, kimia, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan awam atau keselamatan siber.

Bagi memastikan pelajar mendapat latihan menyeluruh, kampus itu turut dilengkapi dewan kuliah, makmal, bengkel industri, tempat menempa besi, perpustakaan, asrama dan kemudahan perubatan.

Bagaimanapun, beberapa peralatan makmal khusus akan dipasang secara berperingkat selepas akademi mula beroperasi.

Pembukaan institusi itu juga mencerminkan cita-cita Burkina Faso untuk membina kepakaran sendiri dalam teknologi nuklear dan aeroangkasa, dua bidang yang selama ini banyak dikuasai negara maju seperti Amerika Syarikat dan China.

Beberapa negara Afrika lain sudah mula melabur dalam bidang berkenaan, termasuk Afrika Selatan yang menawarkan pengajian khusus kejuruteraan nuklear dan penerbangan serta Nigeria yang membangunkan pendidikan dan penyelidikan aeroangkasa.

Ketika merasmikan akademi itu, Traoré menyuarakan harapan agar pelajarnya kelak mampu menghasilkan teknologi sendiri untuk kegunaan industri, pertanian dan pertahanan negara.

“Hari anda menghasilkan enjin pertama, saya akan berbangga. Hari anda mempersembahkan enjin turboprop pertama kepada saya, saya akan berbangga,” katanya.

Beliau turut menggalakkan bakal jurutera menghasilkan pesawat yang boleh digunakan untuk memantau kawasan negara dan memenuhi keperluan pertahanan.

Traoré bagaimanapun mengakui kemudahan makmal berteknologi tinggi memerlukan perbelanjaan besar dan akan dilengkapkan secara berperingkat.

Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 1,000 tenaga pengajar dari Burkina Faso dan luar negara sudah memohon untuk mengajar di institusi berkenaan.

Kerjasama Rusia Bantu Cita-Cita Tenaga Nuklear

Tumpuan terhadap bidang kejuruteraan nuklear juga berkait rapat dengan rancangan Burkina Faso membangunkan tenaga elektrik daripada nuklear menerusi kerjasama dengan Rusia.

Pada Jun 2025, kedua-dua negara menandatangani perjanjian berkaitan pembangunan kemudahan nuklear, penyelidikan saintifik dan latihan teknikal.

Parlimen peralihan Burkina Faso meluluskan perjanjian itu pada November 2025 bagi menyokong rancangan membina loji tenaga nuklear bersama syarikat tenaga nuklear milik kerajaan Rusia, Rosatom.

Projek berkenaan dijangka meningkatkan bekalan elektrik negara selain menyediakan tenaga untuk menyokong perkembangan sektor perindustrian.

Menurut Kementerian Luar Burkina Faso, hanya 34.2 peratus penduduk negara itu mempunyai akses kepada bekalan elektrik pada 2024.

Bagaimanapun, projek loji nuklear berkenaan masih belum mempunyai jadual pembinaan yang ditetapkan atau perancangan pembiayaan muktamad.

Justeru, usaha melatih anak tempatan dalam bidang kejuruteraan nuklear dilihat penting bagi menyediakan tenaga pakar yang diperlukan apabila projek itu direalisasikan kelak.

Kekayaan Emas Jadi Pemangkin Pembangunan Industri

Selain tenaga nuklear, sektor perlombongan turut menjadi antara bidang utama yang mendapat manfaat daripada penubuhan akademi berkenaan memandangkan Burkina Faso merupakan antara negara pengeluar emas di Afrika.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), emas menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan eksport negara itu, sekali gus menjadi sumber penting pendapatan kerajaan dan pertukaran mata wang asing.

Kerajaan turut berusaha memanfaatkan kekayaan sumber mineral tersebut melalui pembaharuan sektor perlombongan dan pelaburan dalam pemprosesan bahan mentah di dalam negara.

Langkah itu bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan penglibatan syarikat tempatan serta memastikan lebih banyak hasil daripada industri perlombongan kekal dalam ekonomi negara.

Keadaan ini menjadikan latihan dalam bidang metalurgi, pemprosesan mineral, pengendalian mesin industri dan pembuatan semakin penting untuk menyokong perkembangan sektor berkenaan.

Mewakili kumpulan pelajar pertama, Yéri Cynthia Djamila Kambou turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, pembayar cukai dan pasukan keselamatan yang menyumbang kepada pembangunan akademi itu.

“Kami akan mengambil serius latihan yang diberikan dan menjaga kampus ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Intipati
  • Burkina Faso melancarkan Akademi Teknologi Faso bernilai 37.37 bilion franc CFA tanpa pinjaman.
  • Institusi itu menerima 250 pelajar pertama dan menawarkan pengkhususan termasuk nuklear serta aeroangkasa.
  • Kerajaan turut mengaitkan latihan teknikal dengan rancangan tenaga nuklear dan pembangunan sektor perlombongan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan