McDonald’s Malaysia terus menunjukkan komitmennya dalam menunaikan kewajipan zakat apabila memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi tahun 2026, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan zakat yang dibayar syarikat itu mencecah RM16 juta sejak 2017.
Sebagai sebuah syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh orang Islam, pembayaran zakat tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab syarikat dalam melaksanakan kewajipan agama, selain membantu meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf di negara ini.
Terbaharu, McDonald’s Malaysia menyerahkan sebanyak RM300,000 daripada keseluruhan zakat tahun ini kepada Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam satu majlis yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya Presint 2 pada Selasa.
Majlis tersebut turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Is. Mohd Nizam Haji Yahya.

Untuk tahun ini, McDonald’s Malaysia memulakan jelajah penyerahan zakat di Kelantan pada Julai lalu sebelum meneruskannya ke beberapa negeri lain.
Wilayah Persekutuan menjadi lokasi ke-10 dalam jelajah tersebut yang turut menyaksikan kerjasama bersama institusi zakat tempatan bagi menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan.
Selain menunaikan zakat, syarikat berkenaan turut menyantuni keluarga asnaf menerusi pemberian Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian.
Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar, kewajipan zakat sentiasa menjadi sebahagian daripada tanggungjawab syarikat dalam menjalankan perniagaan.
“Alhamdulillah, McDonald’s Malaysia dapat meneruskan pembayaran zakat sebanyak RM2 juta pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM16 juta sejak 2017. Dalam rezeki yang dikurniakan kepada kami, ada hak golongan asnaf yang perlu ditunaikan. Sebab itu, kewajipan ini sentiasa menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami dalam mengusahakan perniagaan,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan pelanggan, warga kerja dan rakan niaga yang membolehkan syarikat meneruskan usaha berkenaan.
“Sokongan pelanggan, usaha warga kerja dan kerjasama rakan niaga membolehkan kami terus melaksanakan amanah ini. Melalui kerjasama dengan institusi zakat, kami berharap zakat yang ditunaikan dapat membantu memenuhi keperluan asnaf dan menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan turut mengingatkan tentang kepentingan menunaikan zakat sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan.
“Zakat mendidik kita supaya bersyukur dan mengurus harta dengan penuh tanggungjawab. Kesyukuran itu dizahirkan melalui ketaatan kepada perintah Allah SWT, termasuk menunaikan zakat apabila cukup syaratnya.
“Bantuan perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menjaga maruah penerima serta mengambil kira keadaan sebenar mereka. Bagi mereka yang berupaya, sokongan dalam bentuk pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan juga boleh membantu membina kehidupan yang lebih stabil,” katanya.
Tidak terhenti dengan pembayaran zakat, McDonald’s Malaysia turut mengambil peluang menyantuni komuniti setempat menerusi beberapa inisiatif kebajikan sempena majlis tersebut.
Antaranya, sebanyak 80 keluarga asnaf dari sekitar Putrajaya menerima Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan mereka.
Dalam usaha menyokong pendidikan pula, syarikat itu menyumbangkan 15 komputer riba kepada pelajar asnaf dari Kolej Profesional MAIWP.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu pelajar menyiapkan tugasan serta memudahkan mereka mengakses bahan pembelajaran secara digital.
Menariknya, McDonald’s Malaysia turut menyediakan sebanyak 2,800 hidangan percuma kepada komuniti setempat sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan selama ini.
Hidangan tersebut disediakan di empat restoran iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Putrajaya, McDonald’s Pandu-Lalu Setiawangsa, McDonald’s Pandu-Lalu Sentul UOA dan McDonald’s Desa Pandan.
Dalam usaha menjadi jiran yang prihatin terhadap masyarakat sekeliling, McDonald’s Malaysia turut aktif menjalankan pelbagai program kemasyarakatan di seluruh negara.
Malah, syarikat itu melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun yang melibatkan kesemua 385 restorannya di Malaysia.
“Sebagai syarikat yang sentiasa dekat dengan komuniti, McDonald’s Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak 2017.
“Antaranya menyambut hari jadi anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain-lain lagi. Kami sentiasa aktif menyantuni komuniti daripada semua lapisan masyarakat,” tambah Dato’ Haji Azmir.

Sebagai rekod, pada 2019, McDonald’s Malaysia menjadi entiti perniagaan pertama yang menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP.
Sijil tersebut mengiktiraf sumbangan zakat korporat yang dibuat oleh perniagaan di Malaysia di negeri-negeri Wilayah Persekutuan.
Ia juga turut melengkapi Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah dimiliki McDonald’s Malaysia.

