Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bumbung Pusat Tuisyen Runtuh, 14 Kanak-Kanak Terkorban

14 kanak-kanak terkorban
Gambar: AFP

Bumbung Pusat Tuisyen Runtuh, 14 Kanak-Kanak Terkorban

Sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak maut, manakala lima lagi cedera selepas bumbung sebuah pusat tuisyen runtuh dalam kejadian di bandar Lahore, timur Pakistan, pada Selasa.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku di kawasan Basti Eid Gah, Kahna Nau, di wilayah Punjab ketika kerja-kerja membaiki jubin sedang dijalankan di atas bumbung bangunan yang uzur itu.

Seorang saksi memaklumkan bahawa bumbung bangunan tiba-tiba runtuh lalu menghempap sekumpulan kanak-kanak yang sedang mengikuti kelas.

Jurucakap perkhidmatan ambulans Edhi mengesahkan seramai 14 kanak-kanak terkorban dalam tragedi berkenaan. Manakala, lima lagi mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Pesuruhjaya Lahore, Marryam Khan, turut mengesahkan angka korban tersebut dan memaklumkan bahawa seorang guru turut cedera dalam insiden berkenaan.

Rakaman tular penduduk guna penyodok, tangan korek timbunan runtuhan

Rakaman yang disiarkan stesen televisyen tempatan menunjukkan anggota penyelamat bersama penduduk menggunakan penyodok dan tangan untuk mengorek timbunan tanah serta runtuhan bangunan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Seorang lelaki dikenali sebagai Zaheer berkata, anak saudaranya adalah antara mangsa yang terkorban.

Menurutnya, keadaan bumbung bangunan itu sememangnya sudah uzur. Namun, kerja-kerja pembaikan tetap diteruskan ketika sesi pembelajaran masih berlangsung.

"Dalam sekelip mata, bumbung runtuh dan menghempap ramai kanak-kanak. Mereka meletakkan beban yang terlalu berat di atas bumbung dan itulah yang menyebabkan kejadian ini berlaku," katanya.

Sumber perubatan memaklumkan semua mangsa yang maut berusia antara empat hingga 12 tahun.

Siasatan segera dimulakan

Pihak berkuasa berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi itu.

Polis wilayah Punjab memaklumkan dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan, selain mengumpulkan bukti di lokasi kejadian.

Marryam Khan berkata siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan segera bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Punjab memaklumkan pusat tuisyen berkenaan beroperasi di sebuah rumah persendirian milik seorang guru yang menyediakan kelas kepada kanak-kanak dari kawasan kejiranan kurang berkemampuan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan semua mangsa yang cedera segera pulih.

Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa supaya memastikan setiap mangsa menerima rawatan perubatan terbaik.

Insiden runtuhan bangunan dan bumbung bukanlah sesuatu yang luar biasa di Pakistan berikutan tahap keselamatan pembinaan yang rendah serta penggunaan bahan binaan berkualiti rendah.

Pada Julai tahun lalu, seramai 27 orang terbunuh manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan Lyari, Karachi.

Sumber:CTV News