Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Buka Gelanggang Gusti Di Hari Perkahwinan, Pasangan Ini Pilih Cara Unik Selesaikan Isu Tugas Rumah
Sepasang pengantin dari China mencuri perhatian apabila menyediakan gelanggang gusti pada majlis perkahwinan mereka dengan syarat pihak yang kalah perlu melakukan semua kerja rumah sepanjang hayat, lapor South China Morning Post.
Pengantin lelaki, He Yinsheng yang merupakan seorang penggusti profesional dari Zunyi, Guizhou telah menganjurkan sambutan perkahwinan luar biasa bersama isterinya di sebuah hotel di kawasan berkenaan.
Difahamkan, pasangan itu turut mengadakan ‘persembahan’ gusti apabila kedua-duanya berentap di atas gelanggang yang disediakan.
Berbeza daripada kebiasaan yang menampilkan pelamin indah, pasangan itu memilih untuk memasang gelanggang gusti dengan tema “Groom vs Bride”.
Mereka turut menetapkan satu peraturan santai apabila pihak yang kalah perlu bersetuju melakukan semua kerja rumah sepanjang hayat.
SCMP melaporkan pasangan tersebut memulakan ‘persembahan’ mereka dengan aksi gusti di atas pentas. Seperti dijangka, pengantin lelaki tewas selepas didominasi sepenuhnya oleh pengantin perempuan sepanjang pertarungan.
Pelbagai gerakan dramatik dipamerkan termasuk body slam, takedown yang kuat serta kuncian tangan, yang semuanya berpihak kepada pengantin perempuan.
Para tetamu yang hadir turut terkejut dan bersorak menyaksikan pengantin lelaki ditewaskan oleh isterinya sendiri di atas gelanggang.
Di samping itu, pengadil akhirnya mengisytiharkan kemenangan berpihak kepada pengantin perempuan, sekali gus mengumumkan bahawa beliau “dikecualikan daripada melakukan kerja rumah seumur hidup”.
Walaupun persembahan itu telah dirancang dan dilatih lebih awal, ia tetap berjaya mencuri perhatian serta memukau para tetamu yang hadir.
Selain itu, beberapa ahli gusti profesional turut membuat persembahan khas pada majlis berkenaan, dengan aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan sepanjang acara berlangsung.
“Sudah tentu saya yang perlu kalah pada akhirnya. Takkan saya nak biarkan dia yang melakukan kerja rumah,” kata He.
He menjelaskan idea tersebut tercetus ketika mereka sedang merancang perkahwinan dan selepas menyedari kos majlis melebihi jangkaan, beliau memilih untuk menggantikan persembahan seperti penyanyi dan penari dengan penganjuran perlawanan gusti.
Dalam masa sama, isterinya menyokong penuh rancangan berkenaan, manakala kedua-dua ibu bapa mereka tidak begitu memahami, namun tetap menghormati pilihan anak-anak.
He turut berharap perkahwinan unik itu dapat menarik lebih ramai orang untuk mengenali atau menyertai sukan gusti profesional di China yang masih dianggap sebagai pasaran khusus (niche).