Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Buat Pelbagai Kerja Sambilan Untuk Tampung Yuran, Lelaki Berjaya Raih Anugerah Naib Canselor

Azzwin
anugerah naib canselor
Kredit: @akimloca via Threads
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Buat Pelbagai Kerja Sambilan Untuk Tampung Yuran, Lelaki Berjaya Raih Anugerah Naib Canselor

Bagi individu yang datang dari latar belakang keluarga berpendapatan sederhana atau rendah, melanjutkan pengajian ke menara gading adalah satu impian yang bukanlah mudah untuk digapai.

Yuran pengajian, kos sara hidup seperti makan minum, pengangkutan, tempat tinggal serta keperluan pembelajaran antara aspek yang sering berlegar di fikiran.

Apatah lagi terpaksa merantau jauh daripada keluarga untuk berjihad.

Disebabkan itu, ramai yang sanggup melakukan pelbagai kerja sambilan demi memastikan impian untuk menggapai cita-cita ke Universiti.

Lelaki Raih Anugerah Naib Canselor walaupun bekerja sambilan

Baru-baru ini, sebuah hantaran di media sosial raih perhatian ramai apabila seorang graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu berjaya menerima Anugerah Naib Canselor (ANC).

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @akimloca di Threads, momen bermakna dalam hidupnya apabila berjaya menamatkan pengajian diploma dalam jurusan Komunikasi Massa

Disebalik kejayaan itu, Akim menyingkap sisi yang tidak ketahui ramai, apabila melakukan pelbagai kerja sambilan demi menampung yuran pengajian dan kos sara hidup.

“Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC) walaupun perlu bekerja keras untuk membayar yuran pengajian dan menampung perbelanjaan sepanjang belajar,” tulisnya.

Menurut graduan berkenaan, dia mula bekerja seawal usia 11 tahun sebagai pekerja katering dengan melakukan pelbagai tugas seperti mengangkat makanan dan mencuci pinggan.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 18 tahun, dia terus bekerja kerana mempunyai sasaran untuk menyambung pengajian ke universiti menggunakan wang hasil usaha sendiri.

Difahamkan, dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan memilih untuk berdikari kerana mahu ibu bapanya memberi lebih tumpuan kepada adik-beradik lain yang masih belajar.

Kredit: @akimloca via Threads

Bekerja sambilan demi tampung pengajian

Sepanjang tempoh pengajian, @akimloca melakukan pelbagai kerja sambilan

Antara pekerjaan yang pernah dilakukan termasuk menjadi staf retail di kedai pakaian, menjaga booth jualan pakaian, menjual churros di gerai tepi jalan, hos siaran langsung sambilan, pencipta kandungan, pekerja sambilan di kedai grooming kucing serta jurugambar bebas.

Selain itu, dia juga pernah menjual keychain di i-City, bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran, menjadi promoter minyak wangi serta bekerja di gudang Shopee.

Walaupun perlu berdepan jadual yang padat, dia tetap komited membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan.

"Dari segi pembahagian masa, saya biasanya hadir kelas seperti biasa dari Isnin hinga Khamis, manakala Jumaat, Sabtu dan Ahad akan digunakan untuk bekerja sambilan.

"Tugasan akademik saya siapkan pada waktu malam. Kadang-kadang, saya akan bawa iPad ketika bekerja untuk menyiapkan tugasan semasa waktu rehat atau waktu lapang," ujarnya.

Kredit: @akimloca via Threads

Pegang prinsip tidak mudah mengalah

Graduan @akimloca turut menjelaskan bahawa dia meletakkan sasaran untuk memperoleh Anugerah Naib Canselor bagi membanggakan ibu bapanya serta membuktikan bahawa bekerja sambil belajar bukan penghalang untuk berjaya dalam akademik.

Dia juga berpegang kepada prinsip “nak seribu daya, tak nak seribu dalih” dan percaya bahawa kekangan kewangan bukan alasan untuk seseorang berhenti mengejar pendidikan.

Menurutnya, perkara paling penting ialah usaha, niat dan kesungguhan untuk terus belajar demi mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

"Walaupun penat, semua pengalaman kerja ini banyak mengajar saya tentang disiplin, komunikasi, pengurusan masa dan cara berurusan dengan orang ramai," tambahnya lagi.

Bagi graduan tersebut, kejayaan menerima Anugerah Naib Canselor bukan hanya untuk dirinya sendiri, malah dianggap sebagai hadiah kecil buat ibu bapanya yang banyak berkorban sepanjang perjalanan hidupnya.

Perkongsian itu mengundang rasa kagum orang ramai yang terinspirasi dengan kegigihan dan semangatnya dalam mengejar pendidikan.

Sumber:Threads