Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Botol Hanyut 10 Tahun Dari Jepun Ke Terengganu, Tak Sangka Isinya Jadi Permulaan Persahabatan

Permulaan Persahabatan
Kredit: Shafura Zulkafli

Kadangkala ada pertemuan yang bermula dengan sapaan dan ada juga yang bermula dengan satu kebetulan kecil.

Namun bagi Zulkafli Abd Razak, 63, semuanya bermula dengan sebuah botol yang terdampar di Pantai Ma’Daerah, Terengganu pada 23 April 1999.

Di dalam botol itu terdapat dua pucuk surat, masing-masing ditulis dalam bahasa Inggeris dan Jepun.

Siapa sangka, penemuan tersebut akhirnya membawa Zulkafli kepada seorang remaja Jepun bernama Yohei dan menjadi permulaan kepada sebuah persahabatan yang merentas negara.

Jumpa mesej dalam botol di pantai

Kisah itu dikongsikan semula oleh anaknya, Shafura Zulkafli menerusi Threads baru-baru ini.

“27 tahun lepas, ayah pernah jumpa sebotol yang terdampar di Pantai Ma’Daerah, Terengganu. Dalam botol tu ada satu mesej daripada seorang lelaki dari Jepun bernama Yohei,” tulisnya.

Ketika dihubungi Siakap Keli, Shafura berkata bapanya berusia 36 tahun ketika menemui botol berkenaan.

Menurutnya, surat tersebut mengandungi pesanan daripada Yohei yang meminta sesiapa sahaja yang menemui botol itu menghubunginya kerana dia mahu menjalinkan persahabatan.

Kredit: Shafura Zulkafli

Selain surat, botol itu juga mengandungi origami burung dan peta dunia.

“Isi di dalam botol itu terdapat seekor origami burung, dua pucuk surat (dalam Bahasa Inggeris dan Jepun), peta dunia yang menandakan tempat asal botol tersebut iaitu Pulau Tanegashima di selatan Jepun.

“Kebetulan pula, pada masa penemuan itu, filem Message in a Bottle sedang hangat ditayangkan di pawagam.

“Surat pertama berbahasa Inggeris bertajuk “Message from Nishino” bertarikh 2 Oktober 1989. Ini bermakna botol itu telah hanyut selama 10 tahun.

“Surat tersebut ditulis oleh guru besar sekolah ketika itu, Encik Nakamura Koichi dari Primary Nishino School. Beliau menyatakan bahawa penduduk Pulau Tanegashima terkenal dengan aktiviti pertanian seperti menanam tembakau dan kini pulau itu menjadi pusat pelancaran roket Jepun,” katanya.

Kredit: Shafura Zulkafli
Kredit: Shafura Zulkafli

Namun, surat kedua yang ditulis dalam bahasa Jepun menjadi titik permulaan kepada sebuah persahabatan yang tidak pernah dijangka.

Dengan bantuan seorang ekspatriat Jepun di Kerteh bernama Kitamura, kandungan surat tersebut berjaya diterjemahkan.

“Nama saya Kowaki Yohei. Umur saya enam tahun dan berada di tahun satu sekolah rendah. Saya seorang budak yang pelupa.

“Terdapat banyak bunga dan 117 orang murid di Sekolah Rendah Nishino. Tempat terkenal di pulau kami ialah Tanjung Kadokura (Kadokura Promontory).

“Saya mahu berkawan dengan individu yang memungut surat ini dan sila balas surat saya,” demikian kandungan surat tersebut seperti dikongsikan Shafura.

Kredit: Shafura Zulkafli

Daripada sekadar sehelai surat yang hanyut beribu batu, Zulkafli kemudian cuba menjejaki pemiliknya sehingga mereka akhirnya berjaya berhubung.

Surat jadi permulaan persahabatan

Zulkafli dan Yohei bukan sahaja berjaya berhubung, malah akhirnya bertemu secara bersemuka selepas Yohei yang ketika itu sudah berusia 16 tahun datang berkunjung ke Terengganu.

Kredit: Shafura Zulkafli
Kredit: Shafura Zulkafli

Menurut Shafura, Yohei berada di negara ini selama tiga hari dua malam dan turut berpeluang meneroka Kuala Lumpur bersama bapanya.

Pertemuan dua insan dari latar belakang, usia dan negara yang berbeza itu turut mendapat perhatian media tempatan serta media di Jepun.

Antara paparan dalam siaran berita Jepun
Kredit: Shafura Zulkafli
Kredit: Shafura Zulkafli

Bagaimanapun, hubungan mereka kemudiannya terputus.

“Selepas pertemuan tersebut, ayah saya terputus hubungan kerana beliau terlupa untuk mengambil alamat tetap Yohei.

“Walau bagaimanapun, kenangan itu kekal abadi menerusi surat mesej dalam botol, foto, rakaman video serta getah penutup botol asal yang masih beliau simpan kemas hingga kini.

“Beliau juga tidak sempat berhubung semula dengan guru besar sekolah tersebut selepas surat terakhir dihantar,” ujarnya.

Kredit: Shafura Zulkafli

27 tahun berlalu, masih berharap dapat bertemu lagi

Kini selepas lebih dua dekad berlalu sejak pertemuan tersebut, Zulkafli masih menyimpan harapan untuk bertemu semula dengan Yohei sekiranya diberikan kesempatan.

“Jikalau ada rezeki dan ruang, sememangnya terbit rasa rindu untuk bertemu kembali dengan beliau dan ingin melihat keadaannya hari ini,” kata Shafura mewakili bapanya.

Zulkafli Abd Razak kini berusia 63 tahun. Kredit: Shafura Zulkafli

Daripada sebuah botol yang dihanyutkan seorang kanak-kanak di Jepun pada 1989, siapa sangka ia akhirnya tiba di sebuah pantai di Terengganu sedekad kemudian dan menemukan dua insan yang tidak pernah saling mengenali.

Walaupun hubungan itu akhirnya terputus, surat, gambar dan kenangan yang masih disimpan sehingga hari ini menjadi bukti bahawa kadangkala sebuah persahabatan boleh bermula dengan cara yang paling tidak disangka.

Intipati
  • Zulkafli menemui botol berisi dua surat di Pantai Ma’Daerah pada 23 April 1999.
  • Surat itu dihanyutkan dari Pulau Tanegashima, Jepun, dan mengandungi permintaan berkawan.
  • Yohei kemudian melawat Terengganu, namun hubungan mereka terputus selepas pertemuan tersebut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan