Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

BN Tidak Korban Prinsip Demi Kerajaan Perpaduan

kerajaan perpaduan
Kredit: Facebook Armand Azha

BN Tidak Korban Prinsip Demi Kerajaan Perpaduan

Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmennya untuk terus menjunjung tinggi prinsip demokrasi, kestabilan politik dan kepentingan negara melebihi segala kepentingan lain.

Ketua UMNO Barisan Nasional Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, atas semangat itu BN membuat keputusan besar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan demi memastikan negara tidak terus berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi.

Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, Kerajaan Perpaduan yang wujud ketika ini adalah hasil kerjasama pelbagai parti politik yang memilih jalan kestabilan dan kesederhanaan demi kepentingan rakyat serta negara.

Menurut beliau, tiada mana-mana pihak boleh mendakwa kerajaan yang terbentuk hari ini adalah hasil kekuatan satu parti semata-mata atau menafikan peranan rakan-rakan lain yang turut menyumbang kepada pembentukannya.

“Sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan negara dan pengalaman mentadbir Malaysia selama beberapa dekad, BN berhak untuk menyuarakan pandangan serta pendirian dalam apa jua isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Tambah beliau, hak tersebut bukan sahaja selaras dengan prinsip demokrasi, malah merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

Armand Azha berkata, walaupun BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, ia tidak bermaksud parti itu perlu mengorbankan identiti, prinsip dan pendiriannya terhadap sesuatu isu.

Menurutnya, hubungan dalam kerajaan perlu dibina atas asas saling menghormati, saling mempercayai dan mengiktiraf peranan setiap parti yang menjadi rakan kerjasama politik.

“Mana-mana kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah peranan BN boleh diperkecilkan atau diketepikan adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan semangat sebenar Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Beliau berkata, politik yang matang menuntut setiap pihak menghormati sumbangan serta kekuatan rakan-rakan dalam gabungan, bukannya cuba menonjolkan dominasi atau kelebihan politik secara berlebihan.

Katanya lagi, BN akan terus memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kestabilan kerajaan, memacu pembangunan negara dan membela kepentingan rakyat.

Namun pada masa sama, BN akan terus mempertahankan hak untuk menyatakan pandangan secara terbuka dan berprinsip apabila melibatkan perkara yang menyentuh kepentingan negara, rakyat serta masa depan demokrasi.

“Kerjasama politik yang kukuh hanya dapat dipertahankan apabila semua pihak saling menghormati antara satu sama lain.

“Dalam sebuah kerajaan yang dibentuk melalui persefahaman dan kerjasama, rasa hormat bukanlah satu pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya.