Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

BERSATU Pecat Dua ADUN, Lima Ahli Parlimen Digantung
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipecat Pati Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala lima Ahli Parlimen mereka digantung hari ini, lapor Astro Awani.
Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan memaklumkan bahawa keputusan pemecatan itu berdasarkan Fasal 22.5 dan berkuat kuasa serta-merta pada 8 Mei.
Beliau menjelaskan bahawa langkah itu diambil selepas didapati berlaku pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti dan Kod Etika Bersatu oleh pihak yang terlibat.
“Bahawa Yang Berhormat digantung daripada hak-hak keahlian dalam parti di bawah ini bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua ADUN yang terlibat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.
Dalam perkembangan lain, lima Ahli Parlimen yang dikenakan penggantungan ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Selain itu, dua ADUN iaitu Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) turut digantung.
Sementara itu, Tiga Ahli Parlimen lain menerima surat amaran iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam).
Pihak Lembaga Disiplin parti itu menyatakan tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran berulang.
"Semua individu terlibat diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan," katanya.
Pada 13 Februari, Bersatu turut mengambil tindakan ke atas beberapa pemimpinnya termasuk memecat Timbalan Presiden ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama 16 lagi pemimpin parti.