Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

BERSATU Desak Syarat Tahanan Rumah Najib Dijelaskan Secara Terperinci

Tahanan Rumah Najib
Kredit: Bernama

BERSATU mendesak supaya semua syarat yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak termasuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah dinyatakan secara terperinci dan diumumkan kepada rakyat.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, desakan itu bagi menjamin ketelusan dalam pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan.

“Perincian ini penting untuk mengelak keresahan dan kemarahan rakyat yang boleh menggugat integriti badan kehakiman dan keyakinan rakyat kepada sistem perundangan negara,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azmin berkata BERSATU tuntas dalam perjuangan menentang kleptokrasi, amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Inilah prinsip perjuangan BERSATU yang akan kekal menjadi asas perjuangan kami. BERSATU menegaskan bahawa khazanah negara bukan ladang jarahan.

“Mereka yang didapati bersalah oleh sistem kehakiman hendaklah dihukum mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Negara.

“Kami sentiasa berpegang kepada prinsip negara hukum, menegakkan prinsip keadilan dan hukuman yang dijatuhkan kepada seseorang adalah saksama tanpa membezakan kerana darjat dan pangkat,” ujarnya.

Tambahnya, tanpa mengorbankan prinsip dan pendirian, BERSATU juga menghormati Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi ampun, menunda atau legakan hukuman.

“Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 terpakai kepada semua banduan yang berhak memohon pengampunan melalui proses undang-undang.

“Namun, dalam masa yang sama, BERSATU memahami kemusykilan yang timbul dalam kalangan rakyat mengenai prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

“Rakyat berhak mendapat keyakinan bahawa kedudukan, pengaruh atau latar belakang seseorang tidak mewujudkan piawaian pelaksanaan hukuman yang berbeza daripada yang terpakai kepada rakyat biasa.

“Justeru, kerajaan wajar menjelaskan kerangka undang-undang, tatacara dan kriteria yang akan digunakan bagi pelaksanaan tahanan di rumah, termasuk sama ada keistimewaan yang sama boleh dipertimbangkan secara adil kepada banduan lain yang memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya lagi.

Ujarnya, penjelasan tersebut penting supaya tidak timbul persepsi bahawa terdapat satu bentuk layanan bagi golongan bangsawan, berpengaruh dan satu lagi bagi rakyat biasa.