Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Berguru Dengan Tokoh Tersohor, Seni Ukiran Kayu Anak Besut Kini Bakal Jejak London

Seni Ukiran Kayu Anak Besut
Kredit: Zarir Abdullah

Berguru Dengan Tokoh Tersohor, Seni Ukiran Kayu Anak Besut Kini Bakal Jejak London

Kayu mungkin kelihatan biasa di mata ramai. Namun di tangan seorang pengukir, ia mampu bertukar menjadi karya yang bukan sahaja cantik dipandang, malah menyimpan nilai seni dan warisan yang tinggi.

Di sebalik setiap ukiran, ada kisah tentang kesungguhan, pengorbanan dan cinta terhadap seni yang diwarisi turun-temurun.

Dalam segmen Ini Kisah Aku pada kali ini, kita akan menelusuri perjalanan Zarir Abdullah sebagai seorang pengukir kayu yang bertapak di Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Minatnya terhadap dunia seni ukiran ini bermula sejak di bangku sekolah menengah apabila dia melihat sendiri karya-karya yang dihasilkan di sebuah balai seni.

“Ketika itu, berhampiran sekolah saya terdapat Balai Seni Wanpo. Setiap kali tamat sesi persekolahan pada waktu petang, saya akan singgah melihat para pengukir tengah menyiapkan sebuah pintu ukiran besar untuk Muzium Terengganu dan ukiran-ukiran lain.

“Kehalusan seni, ketelitian setiap ukiran dan suasana di bengkel itu begitu memikat hati saya. Dari situlah lahirnya minat yang mendalam terhadap seni ukiran kayu, yang akhirnya menjadi kerjaya dan perjuangan hidup saya hingga ke hari ini,” katanya kepada SK.

Berbekalkan minat dan kesungguhan yang mendalam, Zarir memulakan perjalanan sebagai pengukir di Balai Seni Wanpo pada tahun 1998.

Menurutnya, balai seni tersebut mendapat dua projek besar pada ketika itu iaitu untuk Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA.

Di situlah bakatnya mula dicungkil dengan lebih mendalam oleh dua tokoh pengukir tersohor negara, Allahyarham Wan Mustafa Wan Su dan Wan Su Othman.

“Pada peringkat awal, saya ditugaskan sebagai pekerja biasa. Bila Allahyarham Wan Mustafa Wan Su dan Allahyarham Wan Su Othman melihat kesungguhan serta minat saya, mereka mula membimbing dan mengajar ilmu ukiran sedikit demi sedikit.

“Setelah mahir, saya diberi kepercayaan untuk mengendalikan kerja-kerja ukiran yang lebih besar,” ujarnya.

Kredit: Zarir Abdullah

Dua tokoh jadi guru

Zarir turut mengimbau kembali memori ‘berguru’ dengan dua tokoh besar itu.

“Allahyarham Wan Mustafa Wan Su selalu mengingatkan bahawa seni ukir Melayu ialah warisan, bukan sekadar pekerjaan.

“Kerja bukan hanya menghasilkan ukiran yang cantik, tetapi memastikan ilmu, falsafah dan identiti Melayu terus diwarisi kepada generasi seterusnya.

“Beliau juga berpesan bahawa kemahiran boleh dipelajari, tetapi sikap mesti dibina. Beliau mendidik saya supaya sentiasa merendah diri, menghormati guru, menjaga kualiti dan tidak sesekali mengkhianati amanah dalam setiap hasil ukiran,” katanya.

Ditanya mengenai proses ukiran kayu yang dihasilkannya, Zarir berkata seni ukiran bukan sekadar mengukir kayu. Namun, ia adalah proses menghidupkan sekeping kayu dengan nilai seni, falsafah dan warisan yang terkandung dalam setiap motif.

Idea dan lakaran diperlukan untuk memulakan ukiran termasuk konsep serta pemilihan motif yang sesuai mengikut fungsi dan falsafah karya.

Kredit: Zarir Abdullah

“Selepas itu, kayu dipilih berdasarkan jenis dan kegunaannya kerana setiap kayu mempunyai sifat yang berbeza.

“Saya lebih suka menggunakan kayu cengal sebab ketahanannya dengan cuaca dan serangan serangga perosak.

“Setelah lakaran dipindahkan ke permukaan kayu, proses mengukir dimulakan secara berperingkat. Bahagian asas dibentuk terlebih dahulu sebelum masuk kepada perincian menggunakan pelbagai jenis pahat.

“Di sinilah kesabaran, ketelitian dan pengalaman memainkan peranan penting kerana setiap potongan akan menentukan keindahan hasil akhir.

“Apabila ukiran siap, permukaan akan diperiksa dan dikemaskan. Jika perlu, proses menggosok, mewarna atau kemasan pelindung akan dilakukan bagi menyerlahkan keindahan urat kayu serta memastikan ukiran lebih tahan lama,” jelasnya.

Bagaimanapun, tempoh untuk menyiapkan sesebuah ukiran bergantung kepada beberapa faktor iaitu kerumitan motif, saiz kayu dan tahap perincian yang diperlukan.

Kredit: Zarir Abdullah
Kredit: Zarir Abdullah

Zarir menjelaskan bahawa semakin rumit motif dan semakin halus ukirannya, semakin lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan ukiran tersebut.

“Begitu juga jika saiz kayu lebih besar, prosesnya akan mengambil masa yang lebih panjang.

“Sebagai contoh, ukiran yang ringkas mungkin boleh disiapkan dalam beberapa hari, manakala karya yang besar dan sarat dengan perincian boleh mengambil masa beberapa minggu, malah sehingga beberapa bulan.

“Bagi saya, masa bukanlah ukuran utama. Yang lebih penting ialah memastikan setiap ukiran dihasilkan dengan teliti supaya mutu, ketepatan dan kehalusan seni ukir benar-benar terpelihara,” ujarnya lagi.

Kredit: Zarir Abdullah

Mempertahankan warisan di era moden

Pun begitu, laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Setiap apa yang diusahakan pasti ada cabaran dan kesukaran yang tersendiri.

Zarir berkata cabaran terbesar sebagai pengukir kayu di zaman sekarang adalah memastikan seni warisan itu terus relevan dalam era moden.

“Selain berdepan dengan kos bahan mentah yang semakin meningkat dan kekurangan pelapis muda, kami juga perlu bersaing dalam dunia digital.

“Sebab itu, pengukir bukan sahaja perlu menghasilkan karya yang berkualiti, malah perlu memanfaatkan media sosial untuk memperkenalkan seni ukiran kepada masyarakat dan menarik minat generasi baharu.

“Pada masa yang sama, kita perlu mengekalkan keaslian dan identiti seni ukiran Melayu agar warisan ini tidak hilang ditelan zaman,” kata Zarir.

Dia juga mengakui pernah terfikir untuk berhenti ketika melalui detik-detik mencabar itu.

Bagaimanapun, dia memegang satu prinsip iaitu ‘bila dah bermula, jangan fikir untuk berundur balik’.

“Minat saya terhadap seni ukiran sudah berputik sejak zaman sekolah lagi, jadi setiap cabaran saya anggap sebagai proses untuk menjadi pengukir yang lebih baik. Minat itulah yang membuatkan saya terus bertahan sehingga hari ini,” tambahnya.

Hasil karya bakal ke London

Di sebalik onak duri itu, ada juga momen-momen bermakna yang tidak akan dilupakan olehnya. Dia pernah diberi kepercayaan untuk menghasilkan kerusi-kerusi syarahan buat Sultan Selangor.

Menurutnya, kerusi itu ditempatkan di masjid-masjid diraja sekitar Selangor.

Kredit: Zarir Abdullah
Kredit: Zarir Abdullah
Kredit: Zarir Abdullah

“Kepercayaan seperti ini merupakan satu penghormatan besar dan menjadi bukti bahawa seni ukiran Melayu masih dihargai pada peringkat tertinggi. Selain itu, saya juga sedang menyiapkan projek panel ukiran yang bakal menghiasi sebuah restoran Melayu di Kota London.

“Bagi saya, melihat hasil ukiran tempatan dibawa ke luar negara adalah satu kebanggaan kerana ia membantu memperkenalkan keindahan seni ukiran Melayu kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Di samping itu, Zarir turut berharap seni ukir terus diwarisi oleh generasi muda supaya, nilai, falsafah dan identiti budaya tidak hilang ditelan zaman.

“Dengan pendekatan moden seperti pendidikan kreatif, bengkel komuniti dan penggunaan media digital, seni ukir boleh menarik minat golongan muda untuk belajar dan berkarya,” ujarnya.

Malah, seni ukir juga diharap mampu menyesuaikan diri dengan reka bentuk kontemporari digunakan dalam seni bina moden, hiasan dalaman, produk kreatif dan seni halus tanpa menghilangkan jati diri tradisi.

Jika dilihat situasi pada masa kini, generasi muda mungkin dilihat tidak begitu menunjukkan minat terhadap seni ukiran tradisional.

Namun, Zarir berpandangan bahawa minat itu masih ada tetapi pendedahan terhadap seni itu sendiri yang semakin berkurang.

Jelasnya, minat itu akan timbul apabila mereka melihat sendiri proses mengukir dan memahami makna di sebalik setiap motif. Pun begitu, seni ukiran tersebut perlu dipersembahkan mengikut cara yang lebih dekat dengan generasi masa kini.

Media sosial, bengkel, pameran dan program pendidikan merupakan antara langkah yang boleh memupuk minat itu.

“Jika diberi pendedahan yang betul, saya yakin masih ramai anak muda yang sanggup mempelajari dan meneruskan warisan seni ukiran Melayu.

“Pesanan saya kepada generasi muda ialah jangan biarkan seni ukiran Melayu ini hilang ditelan zaman. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh, bersabar dalam menuntut ilmu dan sentiasa menghormati guru.

“Seni ukiran bukan sekadar menghasilkan corak yang cantik, tetapi membawa nilai, falsafah dan identiti bangsa. Jika generasi muda sanggup mempelajarinya, saya yakin legasi ini akan terus hidup dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Legasi perlu diteruskan

Tambah Zarir, legasi tokoh-tokoh seni ukir perlu diteruskan kerana mereka bukan sekadar mewariskan kemahiran mengukir, tetapi juga nilai, falsafah dan jati diri budaya Melayu.

“Jika generasi hari ini tidak menyambungnya, khazanah ini boleh hilang ditelan zaman.

“Saya berdiri hari ini hasil didikan tok guru saya. Cara terbaik menghargai jasa mereka bukan sekadar mengenang nama mereka, tetapi meneruskan perjuangan mereka melalui karya yang berkualiti, mendidik anak-anak muda dan memastikan seni ukir Melayu terus berkembang dan dihargai,” katanya lagi.

Bagi yang ingin memiliki hasil ukiran Zarir, anda boleh menempah dan membelinya menerusi media sosial atau terus datang sendiri ke bengkelnya.

Ketika ini, dia kebanyakannya terlibat dengan projek-projek ukiran khas untuk pelanggan persendirian, institusi dan bangunan tertentu.

“Dari segi harga, ia bergantung kepada beberapa faktor seperti saiz ukiran (keluasan persegi), jenis kayu yang digunakan, serta tahap kerumitan motif. Setiap karya dinilai mengikut keperluan dan reka bentuk yang diminta oleh pelanggan,” katanya.

Semoga usaha Zarir untuk terus memelihara seni ukiran ini mendapat perhatian ramai terutama golongan muda. Teknologi boleh moden, namun warisan dan budaya kita tetap perlu dijaga hingga ke generasi yang seterusnya kerana itulah jati diri kita.

Intipati
  • Zarir Abdullah mula meminati seni ukiran kayu sejak zaman sekolah menengah di Besut.
  • Beliau berguru dengan Allahyarham Wan Mustafa Wan Su dan Wan Su Othman sejak 1998.
  • Zarir kini menyiapkan panel ukiran untuk sebuah restoran Melayu di Kota London.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan