Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mengejutkan, Belon Udara Panas Bawa Belasan Penumpang Mendarat Di Halaman Rumah

Azizah Najib
belon udara panas rumah
Kredit: NBC

Mengejutkan, Belon Udara Panas Bawa Belasan Penumpang Mendarat Di Halaman Rumah

Biasanya, pagi hujung minggu adalah masa paling tenang untuk berehat di rumah. Pagi yang cerah dinikmati bersama keluarga bagi melupakan segala tekanan kerja mahupun hiruk pikuk suasana di sekolah.

Ada yang menonton televisyen, ada juga yang mengambil masa untuk bersenam ringan di ruang tamu.

Tidak kurang juga yang menggunakan peluang ini bagi mengeratkan hubungan keluarga dengan melakukan aktiviti secara santai.

Namun bagi sepasang suami isteri di California, pagi mereka bertukar menjadi detik yang sukar dipercayai.

Ketukan pintu mengubah keheningan pagi

Segalanya bermula apabila mereka menerima satu notifikasi pelik dari sistem kamera rumah.

Menurut laporan, pasangan Hunter dan Jenna Perrin ketika itu sedang menonton televisyen sambil melakukan senaman yoga di kediaman mereka di Temecula, California.

Sekitar jam 8.30 pagi, sistem kamera rumah mereka mengesan pergerakan di bahagian halaman belakang. Tidak lama kemudian, mereka terdengar bunyi ketukan di pintu rumah.

"Saya buka pintu dan seorang lelaki beritahu ada orang baru saja mendarat di halaman belakang saya. Saya pelik dan tanya apa maksud dia. Kemudian dia jawab, belon tu," kongsi Hunter.

Kredit: NBC

Tanpa berlengah, pasangan itu bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Sebaik melangkah keluar, mereka melihat sebuah belon udara panas sedang berada di halaman rumah mereka yang memuatkan sejumlah penumpang, menunggu dengan tenang.

Kredit: NBC

Menurut Hunter, dia tidak dapat memahami situasi berkenaan pada mulanya dan menyifatkan semua penumpang dalam belon itu sangat mesra biarpun situasi itu luar biasa.

Sepanjang dua tahun tinggal di kawasan itu, pasangan tersebut pernah melihat belon udara panas di kejauhan.

Namun mereka tidak menyedari rumah mereka sebenarnya berada di laluan penerbangan belon.

Kredit: NBC

Rupanya terpaksa buat pendaratan cemas

Selepas keadaan reda, juruterbang memaklumkan kepada pasangan itu bahawa dia terpaksa membuat pendaratan cemas berikutan angin yang tiba-tiba menjadi lemah menyebabkan belon tergantung dan hampir kehabisan bahan api.

Kesemua penumpang diminta keluar dari bakul sementara menunggu tangki bahan api tambahan dihantar.

Difahamkan, proses untuk menaikkan semula belon dan memindahkannya ke trak pengangkut mengambil masa kira-kira dua jam.

Kredit: NBC

Kejadian itu turut menarik perhatian jiran-jiran sekitar yang keluar untuk melihat sendiri situasi luar biasa tersebut.

Walaupun kelihatan mencemaskan, kejadian itu berakhir tanpa sebarang kecederaan.

Tiada kerosakan juga dilaporkan berlaku pada rumah pasangan tersebut.

"Macam dalam filem Up"

Jenna menyifatkan pemandangan itu seakan-akan adegan dalam filem animasi terkenal, Up.

Kredit: NBC

Wanita itu berkata, kedudukan belon itu membuatkan rumah mereka nampak seolah-olah boleh terangkat bersama.

Hunter pula memuji tindakan juruterbang yang memastikan keselamatan semua orang.

“Juruterbang buat kerja dengan sangat baik, memastikan semua orang selamat,” ujar lelaki berkenaan.

Selepas pengalaman tersebut, pasangan itu bergurau mengatakan mereka mungkin tidak akan menaiki belon udara panas dalam masa terdekat.

Namun mereka mengakui kejadian itu kini menjadi kenangan yang boleh dikenang dengan gelak tawa.

Sumber:NBC News