Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mengajak orang ramai untuk bersama-sama menunaikan solat hajat esok bagi mendoakan urusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipermudahkan.
Menurut Bella, majlis tersebut diadakan sebagai salah satu usaha dan ikhtiar untuk memohon agar segala urusan berkaitan prosiding yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun ini berjalan lancar serta diberi keadilan sewajarnya.
Katanya, orang ramai dijemput hadir ke Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat yang akan berlangsung di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya.
“Saya ingin mohon jasa baik semua untuk sama-sama mendoakan urusan kes Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun nanti.
“Sebelum itu, saya dengan rendah hati ingin menjemput semua yang mengenali kami untuk hadir bersama menjayakan majlis solat hajat dan doa selamat buat Syed Saddiq,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, semalam.
Menurut Bella, tetamu yang hadir boleh datang seawal jam 7 malam untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum majlis diteruskan.
Beliau turut memaklumkan orang bukan Islam juga dialu-alukan hadir selepas jam 8.30 malam sebagai tanda sokongan.
Dalam masa sama, Bella mengakui teruja untuk bertemu dengan mereka yang akan hadir pada majlis berkenaan.
“Tak sabar nak jumpa semua. Harap ramai yang dapat hadir bersama-sama,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Bella turut menitipkan doa agar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diberikan kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi proses mahkamah itu.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan, kekuatan dan keadilan buatnya.
“Doa dan kehadiran anda semua amat bermakna sebagai tanda kasih sayang dan sokongan,” katanya lagi.
Terdahulu, keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada dijadualkan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 30 Jun ini.