Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali sebagai kehilangan besar yang amat dirasai bukan sahaja oleh keluarga Allahyarhamah, malah seluruh negara.
Hishammuddin berkata, Allahyarhamah begitu dekat di hatinya sehingga dianggap seperti bonda sendiri.

“Tidak terungkap dengan kata-kata. Bukan sahaja saya sekeluarga, malah negara turut berdukacita dengan kepulangan Tun Dr Siti Hasmah ke rahmatullah. Ia sungguh menyedihkan.
“Betapa dekatnya Almarhumah di hati. Beliau ibarat bonda saya sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, pengorbanan Allahyarhamah amat besar, khususnya dalam mendampingi suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menurut beliau banyak menumpukan khidmat kepada kepentingan negara.
“Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, kita sentiasa kagum dan terhutang budi dengan Almarhumah.
“Yang bukan sahaja amat besar pengorbanan terutama dalam ‘meminjamkan’ suami tercinta demi kepentingan negara. Malah terlalu banyak kenangan peribadi bersama Almarhumah yang selamanya akan dikenang dan dihargai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
“Semoga roh Almarhumah sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya.
Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.
Allahyarhamah yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 dikenang sebagai antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini serta tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam dan kebajikan masyarakat.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956 dan menjadi pendamping beliau sepanjang perjalanan kehidupan serta khidmatnya kepada negara.

