Sokongan dan kasih sayang bekas Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tun Dr Hasmah Mohd Ali terhadap sukan badminton negara akan sentiasa dikenang serta disanjung tinggi oleh seluruh warga badminton Malaysia.
BAM dalam satu kenyataan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, susulan pemergiannya pagi tadi.

“Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama-sama Ahli Majlis BAM, pihak pengurusan, barisan jurulatih, pemain dan kakitangan, merakamkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga Tun Dr Siti Hasmah dan yang tersayang dalam menghadapi waktu sukar ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan berkat ke atas roh Allahyarhamah, serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh. Semoga keluarganya dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi saat-saat duka ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut BAM, Dr Siti Hasmah berkhidmat sebagai Penaung BAM selama lebih dua dekad sehingga 2007.
Sepanjang tempoh tersebut, Allahyarhamah turut menjadi penaung ketika Malaysia mencipta sejarah menjuarai Piala Thomas pada 1992 selepas menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.
Terdahulu, Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi pada usia 100 tahun.

