IPOH, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibayar pada 22 Dis ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BKK tersebut turut diberikan kepada ahli Ex Officio, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua guru lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) negeri, Orang Besar Jajahan serta petugas di bawah Kontrak MySTEP.
“Kerajaan negeri turut berbesar hati memanjangkan pemberian BKK ini pada kadar RM600 bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.
“BKK ini juga turut dipanjangkan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Guru KAFA, Guru I’dadi dan Thanawi, Guru dan Penyelia Tadika Islam, Guru Aiman dan Guru Agama Dakwah yang ditadbir urus oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada kadar RM400,” katanya.
Saarani mengumumkan demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Beliau berkata BKK turut dipanjangkan kepada Yang Dipertua DUN Perak dan semua Pusat Khidmat DUN pada kadar dua bulan elaun, iaitu berjumlah RM20,000 yang akan dibayar pada Januari 2027.
Sementara itu, Saarani turut mengumumkan mulai Januari 2027, elaun bulanan Guru Tadika Islam dinaikkan sebanyak RM200, iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,400, manakala elaun Penyelia Tadika Islam dinaikkan RM100, daripada RM1,500 kepada RM1,600, yang memanfaatkan 168 guru dan 12 penyelia, dengan peruntukan keseluruhan elaun sebanyak RM3.05 juta.
Selain itu, beliau mengumumkan sebanyak RM10.08 juta disediakan bagi meneruskan pembayaran elaun kepada imam, bilal dan siak di seluruh negeri.
“Sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan jasa yang dicurahkan, kerajaan negeri juga memperkenalkan inisiatif baharu Anugerah Mengerjakan Haji kepada imam, bilal, siak serta Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang memenuhi syarat kelayakan, dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Pada masa yang sama, sebanyak RM3 juta disediakan bagi meneruskan Program Sumbangan Para Jemaah Haji, melibatkan bantuan RM1,000 seorang kepada 3,000 jemaah yang bakal menunaikan ibadah haji tahun hadapan,” katanya.
Bagi meraikan kejayaan atlet Perak yang mengharumkan nama negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Saarani berkata kerajaan negeri menyediakan RM1.39 juta bagi pembayaran insentif khas kepada para atlet yang berjaya meraih pingat.
Terdahulu, Saarani membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.693 bilion melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.1 bilion dan pembangunan sebanyak RM593 juta, meningkat dari tahun sebelumnya.
-- BERNAMA

