Pilihan Raya Pertengahan Penggal (midterm) yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS) ketika ini menjadi antara tumpuan masyarakat dunia.
Manakan tidak, keputusan pilihan raya ini berpotensi memberikan impak besar terhadap baki tempoh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Namun, mungkin masih ramai yang tertanya-tanya mengapa pilihan raya ini diadakan dan apakah bezanya dengan Pilihan Raya Presiden?
Beza “midterm” & Pilihan Raya Presiden
Pilihan Raya Pertengahan Penggal
Pilihan Raya Pertengahan Penggal membolehkan rakyat AS mengundi untuk memilih anggota Kongres, yang terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Perwakilan dan Senat.
Kenapa dipanggil Pertengahan Penggal? kerana ia berlangsung pada pertengahan tempoh empat tahun penggal jawatan seseorang Presiden.
Sebagai contoh, Trump memenangi Pilihan Raya Presiden pada 2024 dan memulakan penggal pentadbirannya pada Januari 2025.
Dua tahun selepas pilihan raya itu, rakyat AS kembali mengundi pada 2026 untuk memilih wakil Kongres mereka, bukannya Presiden baharu.
Pilihan raya Kongres sebenarnya diadakan setiap dua tahun, termasuk pada tahun Pilihan Raya Presiden.
Rakyat AS memilih anggota Dewan Perwakilan untuk tempoh perkhidmatan selama dua tahun, manakala kira-kira satu pertiga daripada anggota Senat dipilih bagi tempoh enam tahun.

Selain itu, pengundi turut memilih wakil bagi mengisi pelbagai jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tempatan.
Keputusan Pilihan Raya Pertengahan Penggal akan menentukan parti politik mana, sama ada Parti Republikan pimpinan Trump atau Parti Demokrat sebagai pembangkang, yang akan menguasai Kongres serta sejauh mana mudahnya Presiden melaksanakan perancangannya.
Keputusan pilihan raya ini juga dilihat sebagai ukuran tahap kepuasan rakyat Amerika Syarikat terhadap prestasi Presiden sepanjang tempoh pentadbirannya setakat ini.
Siapa yang akan dipilih?
Kesemua 435 anggota Dewan Perwakilan, iaitu dewan rendah Kongres Amerika Syarikat AS, akan dipilih dalam pilihan raya ini.
Mereka berkhidmat untuk tempoh tetap selama dua tahun. Dewan Perwakilan lazimnya menjadi tempat rang undang-undang dicadangkan dan dibahaskan.
Sementara itu, sebanyak 35 daripada 100 kerusi Senat, iaitu dewan tertinggi Kongres, turut dipertandingkan.
Anggota Senat berkhidmat selama enam tahun. Antara tugas mereka termasuk meluluskan atau menolak rang undang-undang yang diterima daripada Dewan Perwakilan.
Pada hari yang sama, pengundi di sebahagian besar AS turut akan memilih ahli politik di peringkat negeri.
Pemilihan bagi jawatan Gabenor di California, Florida, Georgia dan Michigan dijangka menjadi antara yang paling mendapat perhatian.
Apa yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal?
Kongres merupakan salah satu daripada tiga cabang utama kerajaan Amerika Syarikat (AS), selain badan eksekutif yang diketuai Presiden dan badan kehakiman. Penguasaan terhadap Kongres amat penting dalam menentukan hala tuju penggubalan undang-undang.
Ketika ini, kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat dikuasai oleh Parti Republikan. Bagaimanapun, parti itu hanya mempunyai majoriti tipis.
Di Dewan Perwakilan, Parti Republikan memiliki 218 kerusi, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk menguasai dewan tersebut, selain seorang anggota Bebas yang mengundi bersama mereka.
Sementara itu, Parti Republikan menguasai 53 kerusi di Senat.
Penguasaan Senat hanya akan bertukar tangan sekiranya Parti Demokrat berjaya memperoleh 51 kerusi. Jumlah itu diperlukan bagi mengatasi kemungkinan undi pemutus oleh Naib Presiden, yang ketika ini merupakan anggota Parti Republikan, sekiranya kedua-dua parti masing-masing memperoleh 50 kerusi.
Sekiranya Parti Demokrat selaku pembangkang berjaya merampas semula penguasaan sekurang-kurangnya satu daripada dua dewan Kongres, mereka akan memperoleh kuasa untuk membawa rang undang-undang yang dicadangkan oleh parti mereka sendiri untuk dibahaskan.
Pilihan Raya Presiden
Berbeza dengan Pilihan Raya Pertengahan Penggal, Pilihan Raya Presiden pula diadakan setiap empat tahun untuk memilih Presiden dan Naib Presiden AS.
Dalam pilihan raya ini, rakyat akan mengundi calon yang mereka mahu menerajui pentadbiran negara bagi tempoh empat tahun akan datang.
Namun, sistem pemilihan Presiden AS sedikit berbeza daripada apa yang mungkin dibayangkan oleh sesetengah pihak.
Ini kerana pemenang Pilihan Raya Presiden tidak ditentukan semata-mata berdasarkan jumlah undi popular yang diterima daripada rakyat di seluruh negara.

Sebaliknya, AS menggunakan sistem yang dikenali sebagai Electoral College atau Kolej Elektoral.
Menerusi sistem tersebut, pengundi di setiap negeri akan menentukan calon yang menerima undi elektoral negeri berkenaan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Secara keseluruhan, terdapat 538 undi elektoral dan seseorang calon lazimnya perlu memperoleh sekurang-kurangnya 270 undi untuk memenangi jawatan Presiden.
Sebagai contoh, Pilihan Raya Presiden terakhir diadakan pada November 2024 yang menyaksikan Trump memenangi jawatan tersebut.
Pilihan Raya Presiden AS yang seterusnya pula dijadualkan berlangsung pada 7 November 2028.
