Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Berjalan jauh, salah posisi tidur dan tidak mendapat rehat yang mencukupi merupakan antara punca kebanyakan jemaah haji Malaysia mengalami masalah ketegangan otot.
Menurut Jurupulih Perubatan Fisioterapi, Azlinda Abdul Hamid, terdapat jemaah yang terpaksa membongkok dan menahan rasa sakit akibat masalah itu.
Bagaimanapun, jemaah perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu untuk mengenal pasti diagnosis sebenar. Ini kerana ada kemungkinan kesakitan yang dialami berpunca daripada masalah lain seperti tekanan darah tinggi.
Sekiranya doktor mendapati kesakitan tersebut berpunca daripada masalah otot atau kekejangan (spasm), barulah pesakit akan dirujuk kepada bahagian fisioterapi untuk rawatan lanjut bagi melegakan kesakitan.
"Kebanyakan jemaah yang datang ke sini, doktor daripada klinik akan rujuk ke fisioterapi dan kita akan bantu untuk melegakan rasa sakit jemaah," katanya kepada SK.
Ujarnya, masalah itu akan berlaku ketika jemaah berjalan dalam tempoh yang lama ketika melakukan tawaf dan Saie.
Selain itu, perjalanan jauh menaiki kapal terbang selama lapan jam juga boleh menyebabkan tubuh berada dalam posisi statik terlalu lama sehingga memberi tekanan kepada saraf di bahagian punggung.
"Perjalanan diteruskan dengan menaiki bas selama beberapa jam lagi yang turut memberi tekanan sama kepada tubuh.
"Setibanya di destinasi pula, jemaah terus aktif berjalan dan melakukan pelbagai aktiviti. Keadaan ini menyebabkan tubuh yang sebelum ini berada dalam 'mod berehat' bertukar kepada 'mod bekerja', sekali gus mencetuskan kekejangan otot dan kesakitan," katanya.
Azlinda berkata seramai 20 pesakit dianggarkan dirujuk ke fisioterapi dan ia boleh meningkat hingga ke 30 orang setiap hari.

"Pesakit kebanyakannya terdiri daripada warga emas dan jumlah antara jemaah lelaki dan wanita seimbang.
"Kebiasaannya pesakit diminta untuk melakukan senaman dan regangan ketika rawatan kerana kita ingin mereka faham tentang tubuh badan mereka.
"Tetapi jika senaman itu sendiri tidak dapat membantu, barulah kita akan guna alatan untuk mengurangkan sakit," katanya lagi.
Jelasnya, antara alatan yang digunakan adalah terapi sejuk jika adanya bengkak, ultrasound dan rawatan elektrik untuk membantu mengurangkan sakit.
Namun, 80 peratus pesakit akan terus merasa lega apabila melakukan senaman dan regangan yang diajar oleh pihaknya.
"20 peratus lagi mungkin kita akan follow up balik. Kita akan suruh mereka datang balik," kata Azlinda.
Jemaah juga dinasihatkan untuk melakukan sesuatu mengikut keupayaan mereka.
"Jika memang terlalu sakit, kita memang nasihatkan jemaah untuk menggunakan perkhidmatan seperti kerusi roda. Walau tidak larat, sekurang-kurangnya mereka tetap dapat menyelesaikan ibadah masing-masing.
"Jemaah juga boleh makan ubat jika terlalu sakit tetapi dalam masa yang sama kita memang nasihatkan agar melakukan senaman," katanya.

Mereka juga digalakkan mengajar rakan sebilik supaya dapat melakukan senaman bersama-sama sebagai persediaan menghadapi perjalanan ibadah yang lebih mencabar.
Difahamkan, kebanyakan jemaah yang datang mendapatkan rawatan sebenarnya sudah mempunyai sakit sedia ada sejak di Malaysia. Namun, keadaan menjadi lebih teruk apabila mereka melakukan aktiviti berlebihan di Tanah Suci.
Oleh itu, rawatan yang diberikan lebih kepada mengawal kesakitan supaya jemaah dapat meneruskan ibadah dengan baik.