Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bank Negara Malaysia Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuaratnya yang diadakan hari ini.
BNM menjelaskan pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut bank pusat itu, pertumbuhan global pada 2026 akan terus disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan teknologi global yang terus berkembang.
Walau bagaimanapun, peningkatan harga tenaga dan komoditi yang mendadak serta gangguan rantaian bekalan daripada konflik Timur Tengah mula mempengaruhi momentum pertumbuhan global.
“Risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus tinggi, berpunca daripada ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan,” tambah BNM.
BNM turut menjelaskan bahawa potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk konflik yang mereda lantas menyebabkan keadaan rantaian bekalan bertambah baik, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
“Potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk konflik yang mereda lantas menyebabkan keadaan rantaian bekalan bertambah baik, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” menurut BNM.
Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang kukuh.
Ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik Timur Tengah dijangka mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.
Walau bagaimanapun, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara, termasuk melalui guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar yang menyokong perbelanjaan isi rumah.
Aktiviti pelaburan pula akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
“Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh manakala perbelanjaan pelancong akan berterusan meskipun pada kadar yang lebih sederhana,” jelas BNM.
“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan berikutan konflik yang berlarutan di Timur Tengah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah,” menurut BNM.
Pada masa sama, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
BNM memaklumkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama tahun 2026.
“Harga komoditi global yang lebih tinggi akibat konflik Timur Tengah dijangka meningkatkan tekanan kos dalam negeri dan menyebabkan inflasi meningkat sedikit,” tambah BNM.
Namun begitu, kesan konflik terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal terkawal berikutan langkah-langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan yang stabil.