Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Baju Bertimbun Tak Habis? Ini Cara Urus Laundry Tanpa Stress

suhaila
Baju Bertimbun Laundry
Gambar AI

Baju Bertimbun Tak Habis? Ini Cara Urus Laundry Tanpa Stress

Dalam kesibukan rutin harian yang semakin mencabar, urusan mencuci pakaian sering menjadi salah satu tugasan rumah yang paling mudah tertangguh tanpa disedari. Apa yang bermula dengan hanya beberapa helai pakaian kotor akhirnya boleh bertukar menjadi timbunan yang memerlukan masa dan tenaga yang lebih besar untuk diselesaikan.

Lebih merumitkan keadaan, selepas selesai dibasuh, pakaian yang sepatutnya dilipat dan disimpan dengan kemas pula terus dibiarkan di dalam bakul, di atas katil atau di penjuru bilik. Lama-kelamaan, keadaan ini membentuk satu kitaran yang berulang seolah-olah kerja mencuci tidak pernah benar-benar selesai.

Hakikatnya, situasi ini bukan sekadar berpunca daripada sikap tetapi lebih kepada ketiadaan sistem yang sesuai dengan rutin harian. Terutamanya bagi mereka yang perlu mengimbangi pelbagai tanggungjawab dalam satu masa.

1. Asingkan pakaian mengikut kategori sejak awal

Langkah paling asas tetapi sering diabaikan adalah mengasingkan pakaian mengikut kategori sejak dari awal. Kebanyakan individu cenderung untuk mencampurkan semua pakaian ke dalam satu bakul tanpa mengira jenis atau kegunaannya.

Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan proses mencuci malah menyebabkan kita mengambil masa yang lebih lama untuk membuat keputusan setiap kali ingin memulakan cucian. Dengan menyediakan beberapa bakul berasingan seperti untuk pakaian kerja atau sekolah, pakaian harian di rumah serta kain berat seperti tuala dan cadar, keseluruhan proses menjadi lebih tersusun.

Setiap kategori boleh diurus secara berperingkat tanpa perlu mengendalikan jumlah yang terlalu besar dalam satu masa. Selain itu, kaedah ini juga membantu memastikan pakaian dijaga dengan lebih baik mengikut jenis fabrik dan keperluan cucian masing-masing.

2. Amalkan konsep satu bakul satu hari

Dalam usaha untuk mengelakkan keletihan melampau, pendekatan yang lebih praktikal adalah dengan menghadkan jumlah cucian kepada satu bakul dalam satu hari.

Ramai yang cenderung untuk menunggu sehingga pakaian bertimbun sebelum mencuci dalam kuantiti yang banyak namun kaedah ini sebenarnya memakan tenaga dan masa yang lebih besar.

Apabila terlalu banyak pakaian dicuci serentak, proses seterusnya seperti menjemur, mengangkat dan melipat menjadi lebih berat untuk diselesaikan. Sebaliknya, dengan mengamalkan konsep satu bakul satu hari, setiap proses dapat dilakukan dengan lebih santai dan terkawal.

Walaupun kelihatan kecil, konsistensi ini mampu memberikan kesan besar dalam jangka masa panjang kerana kerja tidak lagi tertangguh dan beban tidak berkumpul.

3. Lipat pakaian sejurus selepas kering

Salah satu punca utama pakaian bersih bertimbun adalah tabiat menangguhkan proses melipat. Selepas pakaian kering, ramai yang memilih untuk meninggalkannya di dalam bakul dengan alasan ingin melakukannya kemudian.

Namun, tindakan ini sering menyebabkan pakaian terkumpul dan akhirnya menjadi beban yang lebih besar. Oleh itu, membiasakan diri untuk melipat pakaian sejurus selepas ia kering adalah satu perubahan kecil yang memberi impak besar.

Tidak perlu menunggu masa yang panjang, cukup sekadar meluangkan lima hingga sepuluh minit untuk menyelesaikan sebahagian daripadanya.

Aktiviti ini juga boleh dilakukan secara santai seperti sambil menonton televisyen atau berehat. Apabila dilakukan secara konsisten, ia mampu mengelakkan timbunan besar daripada terbentuk dan menjadikan ruang rumah sentiasa kelihatan kemas serta terurus.

4. Kurangkan keperluan melipat secara terperinci

Selain itu, dalam realiti kehidupan yang sibuk, tidak semua pakaian memerlukan lipatan yang sempurna. Mengubah sedikit cara penyimpanan boleh menjimatkan masa dan tenaga dengan ketara.

Sebagai contoh, pakaian harian di rumah yang digunakan secara kerap boleh terus disusun ke dalam bakul atau bekas khas tanpa perlu dilipat dengan rapi. Manakala pakaian yang digunakan untuk keluar, bekerja atau menghadiri majlis sahaja diberi perhatian untuk digantung atau dilipat kemas.

Pendekatan ini bukan sahaja lebih praktikal malah membantu mengurangkan tekanan untuk mencapai kesempurnaan dalam setiap perkara. Dengan cara ini, masa yang ada boleh dimanfaatkan untuk tugasan lain yang lebih penting tanpa mengabaikan keperluan asas pengurusan pakaian.

5. Kurangkan jumlah pakaian melalui declutter

Satu lagi faktor yang sering menjadi punca kepada masalah pakaian bertimbun adalah jumlah pakaian yang terlalu banyak. Tanpa disedari, kita cenderung menyimpan pakaian yang jarang atau tidak lagi digunakan sama ada kerana faktor sentimental atau sekadar sayang untuk dibuang.

Namun, semakin banyak pakaian yang dimiliki semakin tinggi beban untuk menguruskan cucian. Oleh itu, melakukan proses declutter secara berkala adalah langkah yang sangat penting. Pilih untuk menyimpan hanya pakaian yang benar-benar digunakan dan masih dalam keadaan baik.

Manakala selebihnya boleh disumbangkan atau dilupuskan. Selain membantu menjimatkan ruang, langkah ini juga menjadikan keseluruhan proses mencuci lebih mudah dan cepat kerana jumlah yang perlu diuruskan telah dikurangkan.

6. Tetapkan rutin pendek tetapi konsisten

Kunci utama kepada pengurusan pakaian yang lebih efisien adalah konsistensi dalam rutin harian. Tidak perlu menunggu masa yang panjang atau hari yang benar-benar lapang untuk menyelesaikan semua tugasan. Sebaliknya, amalkan rutin pendek yang boleh dilakukan secara berterusan setiap hari.

Contohnya meluangkan masa selama sepuluh minit selepas menyelesaikan urusan harian untuk melipat beberapa helai pakaian. Walaupun nampak kecil, usaha yang dilakukan secara konsisten ini mampu memberikan perubahan yang besar dalam jangka masa panjang.

Ia juga membantu mengelakkan perasaan terbeban kerana kerja dilakukan secara berperingkat dan tidak terkumpul dalam satu masa.

Secara keseluruhannya, masalah pakaian bertimbun sebelum dan selepas mencuci bukanlah sesuatu yang sukar untuk diatasi jika pendekatan yang betul digunakan. Apa yang diperlukan hanyalah sistem yang lebih terancang dan selari dengan rutin harian yang sedia ada.

Lebih penting, perubahan kecil ini mampu memberi impak positif dalam pengurusan rumah di samping membantu mewujudkan ketenangan fikiran. Apabila beban kerja tidak lagi bertimbun, kehidupan harian akan terasa lebih ringan, teratur dan menyenangkan.