Peminat sneakers kini boleh menikmati cita rasa tempatan dalam bentuk yang berbeza apabila ASICS Sportstyle Malaysia dan SneakerLAH memperkenalkan edisi terhad ASICS GEL-KAYANO™ 20 “ICE KACANG”.
Kolaborasi terbaharu ini mengambil inspirasi daripada ais kacang, antara pencuci mulut popular dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan reka bentuk yang menggabungkan elemen warna dan ramuan ikoniknya.
Ini bukan kali pertama ASICS dan SneakerLAH mengetengahkan budaya Malaysia menerusi rekaan kasut.
Kerjasama sebelum ini termasuk GEL-KAYANO™ 5 OG “NASI LEMAK” (2019), GEL-LYTE™ III “KUALA LUMPUR TWIN TOWERS” (2020), GEL-LYTE™ III “TEH TARIK” (2022) dan ASICS SKYHAND™ OG “MAMEE MONSTER” (2024).
Menariknya, idea untuk menghasilkan kasut bertemakan ais kacang sebenarnya sudah berada dalam senarai konsep kedua-dua jenama sejak 2018, sebelum akhirnya direalisasikan menerusi kolaborasi tahun ini.
Inspirasi Daripada Ais Kacang
Rekaan GEL-KAYANO™ 20 “ICE KACANG” mengambil inspirasi daripada pelbagai elemen pencuci mulut tersebut.
Bahagian atas kasut didominasi warna putih, yang melambangkan ais kisar, dengan panel merah jambu sebagai simbol sirap ros dan aksen kuning yang merujuk kepada jagung.


Struktur FLUIDFIT™ pada bahagian atas pula diinspirasikan daripada susu sejat yang biasanya dicurahkan di atas ais kacang.
Sementara itu, teknologi dual GEL® pada bahagian tapak tengah hadir dalam warna hijau sebagai rujukan kepada cendol, manakala sistem sokongan GUIDANCE TRUSSTIC® berwarna hitam mengambil inspirasi daripada cincau.

Perincian kacang merah turut ditampilkan pada bahagian lubang tali dan kotak jari kaki.
Untuk melengkapkan rekaan, kasut ini turut dilengkapi sistem pengunci tali gaya outdoor yang memberikan sentuhan lebih lasak pada siluet tersebut.

Menurut Bryan Chin, Pengasas SneakerLAH, kolaborasi ini meneruskan usaha mereka mengetengahkan kisah dan budaya Malaysia menerusi rekaan sneakers.
Harga Dan Ketersediaan
ASICS GEL-KAYANO™ 20 “ICE KACANG” akan dijual pada harga RM899 dan ditawarkan dalam kuantiti terhad.
Kasut ini akan dibuka untuk pembelian menerusi cabutan bertuah dalam talian di laman SneakerLAH bermula 5 Oktober 2026.
Pelancaran rasmi pula akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2026 di LahLahLand, Mines International Exhibition Convention Centre.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti pengumuman terkini menerusi akaun Instagram @sneakerlah dan @asics_sportstyle_my.
