Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Asia Tenggara Bakal Menjadi Pasaran E-Dagang Pesat Menjelang 2029

Syamimi
ASIA

Asia Tenggara Bakal Menjadi Pasaran E-Dagang Pesat Menjelang 2029

2C2P by Antom, platform pembayaran terkemuka di Asia Tenggara, hari ini mengeluarkan kajian terkini yang dijalankan oleh firma analisis pasaran IDC, yang menunjukkan bahawa pasaran e-dagang Asia Tenggara kini berada pada trajektori pertumbuhan yang kukuh dan dijangka menjadi pasaran e-dagang kedua terpantas berkembang di dunia, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 13.2% dari 2024 hingga 2029, hanya sedikit selepas India.

Pembayaran digital terus mendominasi pertumbuhan e-dagang, dengan dompet mudah alih dan pembayaran tempatan semakin popular di kebanyakan negara Asia Tenggara.

Kajian bebas yang dijalankan atas inisiatif oleh 2C2P dan Antom bertajuk “How Southeast Asia Buys and Pays 2026: Unlocking SMEs’ Potential” mencerminkan pertumbuhan pasaran e-dagang Asia Tenggara yang dijangka meningkat sebanyak 85.4% dan mencapai AS$289.8 bilion menjelang 2029.

Pembayaran digital dijangka menyumbang 97% daripada jumlah transaksi e-dagang menjelang 2029, meningkat daripada 89% pada 2024. Pertumbuhan paling kukuh dijangka berlaku dalam pembayaran domestik (pembayaran serta-merta dan skim pembayaran berasaskan bank tempatan) serta dompet mudah alih, khususnya di pasaran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Pertumbuhan pembayaran digital dalam pasaran e-dagang Asia Tenggara dari 2024 hingga 2029 dijangka merangkumi beberapa pilihan pembayaran termasuk:

  • Peningkatan 104% dalam pembayaran domestik, (iaitu pembayaran serta-merta dan skim pembayaran berasaskan bank tempatan) yang dijangka meningkat kepada AS$92.0 bilion pada 2029 daripada AS$45.1 bilion pada 2024. Pembayaran domestik dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada sektor pembayaran digital Asia Tenggara pada 2029, merangkumi kira-kira 32% sektor tersebut, menggantikan pembayaran menggunakan kad. 

  • Peningkatan 107% dalam penggunaan dompet mudah alih, yang dijangka mencapai AS$79.0 bilion pada 2029 berbanding AS$38.2 bilion pada 2024. Dompet mudah alih dijangka menyumbang 27% daripada pasaran e-dagang pada 2029, meningkat daripada 24% pada 2024.

  • Pertumbuhan 174% untuk Buy Now Pay Later (BNPL) yang dijangka mencatatkan AS$18.9 bilion pada 2029, meningkat daripada AS$6.9 bilion pada 2024. 

56% penduduk di rantau ini masih tidak mempunyai kad pembayaran, menurut Bank Dunia. Penyelesaian pembayaran digital dapat membantu merapatkan jurang dan mengatasi masalah seperti pemilikan kad yang rendah, ramai penduduk yang tidak mempunyai akaun bank, serta akses yang terhad kepada perkhidmatan perbankan tradisional.

PKS dijangka menyumbang 58% daripada e-dagang Asia Tenggara menjelang 2029, namun pendigitalan masih menjadi cabaran.

Edisi terkini laporan ini turut merangkumi kajian baharu mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan tonggak utama pertumbuhan ekonomi rantau ini dan semakin aktif dalam perdagangan digital, namun masih kurang diberi perhatian dalam analisis pembayaran dan e-dagang. Kajian ini melibatkan 600 responden PKS dari enam pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dengan meneliti keutamaan perniagaan, penggunaan pembayaran, dan tahap kesediaan terhadap trend pembayaran baru.

Di seluruh Asia Tenggara, kajian mendapati bahawa 66% PKS kini menjual secara dalam talian, mencerminkan peningkatan penyertaan dalam ekonomi digital. Namun, tahap kematangan digital masih tidak meluas, dengan satu pertiga responden PKS masih sangat bergantung kepada pembayaran tunai dalam operasi harian mereka, termasuk di pasaran moden seperti Singapura.

Keadaan ini disebabkan oleh halangan berterusan seperti kerumitan integrasi sistem, kebimbangan terhadap penipuan, yuran yang tinggi dan kekurangan infrastruktur. Cabaran ini berbeza mengikut negara, daripada jurang infrastruktur dan sambungan internet di Indonesia dan Filipina, kepada isu keselamatan dan integrasi di Singapura dan Vietnam, serta tekanan kos dan regulasi di Malaysia dan Thailand sekali gus mengurangkan keupayaan PKS untuk memperkemas operasi dan berkembang secara efektif.

Sebanyak 63% responden turut menyatakan bahawa sistem pembayaran semasa mereka perlu dinaik taraf atau digantikan bagi menyokong trend pembayaran baru.

Walaupun hanya 49% responden PKS kini terlibat dalam perdagangan rentas sempadan, tiga perempat daripada mereka merancang untuk berkembang ke pasaran antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang. Aspirasi ini amat ketara di pasaran seperti Indonesia dan Thailand, di mana peluasan ke segmen pelanggan baru semakin menjadi keutamaan bagi PKS.

IDC menganggarkan penyertaan lebih meluas PKS dalam e-dagang rentas sempadan mampu menjana tambahan jualan sebanyak AS$20.8 bilion menjelang 2029, sekali gus meningkatkan nilai e-dagang serantau sebanyak 7.1%.

Worachat Luxkanalode, Ketua Pegawai Eksekutif 2C2P by Antom berkata, “Di tengah-tengah pertumbuhan berterusan pasaran e-dagang Asia Tenggara, 2C2P by Antom komited untuk mempersiapkan perniagaan pelbagai saiz dengan pengetahuan dan solusi pembayaran bagi mengharungi landskap pembayaran Asia Tenggara yang kompleks dan pelbagai."

"Perniagaan di Asia Tenggara, khususnya PKS, merupakan nadi pertumbuhan ekonomi rantau ini yang menyumbang lebih 50% kepada KDNK di pasaran utama dan menggajikan 64.6% tenaga kerja, namun ramai masih bergelut dengan cabaran transformasi digital.”

“Memandangkan ekosistem pembayaran berkembang pesat di pelbagai pasaran, perniagaan memerlukan penyelesaian yang mampu memudahkan operasi, menyokong pelbagai pilihan pembayaran tempatan dan membolehkan mereka berkembang merentasi sempadan."

"Dengan platform pembayaran khusus perniagaan kami, perniagaan pelbagai saiz boleh menangani cabaran ini melalui satu API, membuka peluang baru dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam ekonomi digital rantau yang pesat berkembang,” ujar beliau.