Amerika Syarikat (AS) menolak sebarang usaha untuk mewujudkan mekanisme kawalan global terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) bertaraf “superintelligence”, lapor Anadolu.
AS tolak kawalan global terhadap “Superintelligence”
Ketua Pejabat Dasar Sains dan Teknologi Rumah Putih, Michael Kratsios berkata AS “sama sekali menolak sebarang usaha untuk membentuk skim kawalan global terhadap superintelligence”.
Beliau berkata dialog antarabangsa mengenai teknologi itu tidak seharusnya berkembang ke arah tadbir urus global.
“Dialog antarabangsa dalam forum ini dan forum lain tidak boleh dibiarkan beralih kepada tadbir urus global,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kecerdasan buatan dan keselamatan antarabangsa pada Rabu.
Istilah “superintelligence” digunakan Presiden AS Donald Trump ketika menyampaikan ucapan di PBB pada Selasa bagi merujuk kepada kecerdasan buatan.
Kratsios berkata sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi “superintelligence” di peringkat termaju, AS telah mengambil langkah bagi memastikan teknologi itu terus dibangunkan secara selamat dan bertanggungjawab.
Menurutnya, langkah berkenaan bermakna tiada keperluan untuk menghentikan pembangunan teknologi tersebut atau mengehadkannya menerusi struktur tadbir urus global baharu.
Beliau turut menggesa negara-negara mengawal selia teknologi AI mengikut peraturan masing-masing, berbanding mewujudkan satu kerangka kawal selia global.
“Wakil rakyat Amerika akan menggubal undang-undang dan mengawal selia bagi pihak rakyat Amerika. Anda juga harus melakukan perkara yang sama untuk rakyat anda.
“Hanya melalui ekosistem terbuka dan bekerjasama yang dibina berasaskan infrastruktur berdaulat serta keupayaan domestik, dunia dapat merealisasikan potensi teknologi ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI dan Anthropic yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan berkata tiada satu pihak seharusnya menguasai teknologi kecerdasan buatan.
Mereka turut menggesa kerjasama antarabangsa diperkukuh bagi menguruskan risiko berkaitan teknologi tersebut seiring dengan perkembangan pesat AI.

