Amerika Syarikat telah meluluskan cadangan penjualan 48 pesawat pejuang halimunan F-35 bernilai AS$24.3 bilion kepada Arab Saudi.
Menurut AFP, perkara itu diumumkan oleh Jabatan Negara AS pada Khamis.
Ia merupakan pembelian senjata utama terbaharu Arab Saudi sejak perang Iran bermula.
Arab Saudi sudah lama berusaha untuk mendapatkan pesawat F-35, namun pegawai Israel sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap penjualan pesawat berkenaan kepada Riyadh.
Israel ketika ini merupakan satu-satunya di Asia Barat yang mengoperasikan pesawat F-35.
Kebimbangan itu timbul meskipun terdapat usaha untuk menggalakkan Arab Saudi menormalkan hubungan dengan Israel.
48 Pesawat Pejuang F-35
“Cadangan penjualan ini akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk mencegah ancaman semasa dan akan datang dengan memperkukuh pertahanan tanah airnya, selain meningkatkan keserasian operasi dengan pasukan Amerika Syarikat,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, penjualan berkenaan juga akan menambah kekuatan armada pesawat operasi Arab Saudi serta meningkatkan keupayaan pertahanan diri negara itu dalam pertempuran udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
Masih Perlukan Kelulusan Kongres
Jabatan Negara AS telah memaklumkan Kongres mengenai cadangan penjualan tersebut yang masih memerlukan kelulusan anggota perundangan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, tiada tempoh masa diberikan mengenai bila pesawat itu akan diserahkan kepada Arab Saudi.
Jabatan Negara AS turut menegaskan bahawa penjualan F-35 itu tidak akan mengubah keseimbangan ketenteraan di rantau berkenaan.
Kenyataan itu selaras dengan dasar sekian lama Amerika Syarikat untuk memastikan Israel terus memiliki kelebihan ketenteraan berbanding mana-mana pihak yang berpotensi menjadi musuhnya di rantau tersebut.
Kedutaan Arab Saudi di Washington menyambut baik urus niaga tersebut dengan menyifatkannya sebagai mencerminkan kekuatan serta hubungan berkekalan antara kedua-dua negara.
Menurut kedutaan itu, kerjasama keselamatan antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat turut menyumbang kepada kestabilan serantau, memperkukuh keupayaan pertahanan bersama serta memajukan kepentingan keselamatan kedua-dua negara.
Arab Saudi berulang kali menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu oleh tentera Iran sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada Februari.
Negara itu turut menjadi sasaran pemberontak Houthi di Yaman yang disokong Iran.
Perang saudara Yaman sebelum ini reda selama beberapa tahun, namun pertempuran antara Houthi dan kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa serta disokong Riyadh kembali tercetus pada Julai.
Pemberontak Houthi turut mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan menyasarkan kapal-kapal negara itu di Laut Merah.
Washington setakat ini tidak terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan.
Bagaimanapun, seorang pegawai AS berkata awal minggu ini bahawa satu pasukan petugas tentera Amerika sedang bekerjasama bagi meningkatkan perkongsian risikan dan bantuan perancangan kepada pasukan Arab Saudi.

