Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

A.R.I.F. Raih Sambutan Hangat Di Ulang Tahun Pertama Petrosains

Syamimi
RAIH

A.R.I.F. Raih Sambutan Hangat Di Ulang Tahun Pertama Petrosains

Petrosains meraikan satu detik istimewa apabila maskot kesayangannya, A.R.I.F., menyambut ulang tahun pertama bersama lebih 1,800 pengunjung di Petrosains, The Discovery Centre, Suria KLCC. Menerusi sambutan “A.R.I.F.’s Birthday ONE-derland”, acara tersebut menghimpunkan keluarga, kanak-kanak dan komuniti dalam suasana penuh keceriaan menerusi pengalaman edutainment yang interaktif dan menyeronokkan.

Berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 7.00 petang, pusat penerokaan sains itu bertukar menjadi ruang sambutan yang meriah dengan gabungan aktiviti pembelajaran interaktif, permainan kreatif dan penglibatan komuniti selaras dengan misi Petrosains untuk menjadikan STEM lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua.

A.R.I.F. yang membawa maksud A Resourceful Intelligent Friend bukan sekadar maskot Petrosains, malah sudah menjadi sahabat kecil yang dekat di hati pengunjung khususnya kanak-kanak dan keluarga. Sempena ulang tahun pertamanya tahun ini, A.R.I.F. terus menceriakan pengalaman pembelajaran di Petrosains dengan membawa semangat ingin tahu, dan keseronokan meneroka dunia STEM. Melalui personalitinya yang ceria dan mesra, A.R.I.F. membantu menjadikan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) lebih menyeronokkan, interaktif buat semua lapisan masyarakat.

Pencapaian ini bukan sekadar sambutan ulang tahun maskot, malah mencerminkan komitmen berterusan Petrosains dalam menyampaikan pengalaman edutainment bermakna yang menginspirasikan penerokaan ilmu serta mengeratkan hubungan komuniti melalui pembelajaran dan kegembiraan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Encik Ezarisma Azni Mohamad berkata, “Sambutan ini membuktikan bahawa pembelajaran boleh menjadi pengalaman yang bermakna dan menggembirakan apabila dinikmati bersama. Kehadiran lebih 1,800 pengunjung untuk meraikan A.R.I.F. mencerminkan hubungan erat yang telah dibina bersama para pengunjung serta komitmen berterusan kami dalam menyampaikan pengalaman edutainment yang memberi impak positif, sekali gus menyemarakkan rasa ingin tahu dan semangat meneroka ilmu.”

Sambutan A.R.I.F. ONE-derland mengetengahkan beberapa teras utama Petrosains iaitu interaksi, kreativiti, pembelajaran dan hubungan komuniti menerusi pelbagai pengalaman interaktif sepanjang hari:

a. Penceritaan & Hubungan Komuniti

Program dimulakan dengan tayangan khas “Journey of A.R.I.F.” yang memaparkan perjalanan A.R.I.F. sepanjang setahun dalam mendekati pengunjung, pelajar dan komuniti. Sambutan diteruskan dengan kemunculan istimewa A.R.I.F., nyanyian lagu ulang tahun serta simbolik penyampaian kek cawan dan hadiah.

b. Aktiviti STEM Interaktif

Pengunjung turut menyertai pelbagai aktiviti STEM secara langsung yang direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan kreativiti seperti menghasilkan topeng A.R.I.F., membuat kad ucapan hari jadi, aktiviti “Pin A.R.I.F.”, aktiviti lukisan seni atas muka, Kuiz A.R.I.F. serta Cabaran Tarian A.R.I.F. yang membolehkan kanak-kanak belajar sambil bermain dan mengekspresikan diri.

c. Sesi Meet-and-Greet

Pengunjung berpeluang menyertai sesi eksklusif bertemu dan bergambar bersama A.R.I.F., sekali gus mencipta kenangan manis bersama maskot kesayangan ramai itu. Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan sudut istimewa A.R.I.F. ONE-derland Sweet Corners yang menawarkan bertih jagung dan gula-gula kapas secara percuma.

d. Interaksi Digital & Perkongsian Media Sosial

Bagi meluaskan lagi sambutan ke platform digital, Petrosains turut memperkenalkan pengalaman photobooth digital “AddYours” bertemakan A.R.I.F., membolehkan pengunjung berkongsi momen sambutan mereka secara dalam talian dan menjadi sebahagian daripada memori digital ulang tahun A.R.I.F.

Nurul Syahirah yang hadir bersama dua orang anaknya berkata, “Anak-anak saya sangat gembira dengan aktiviti lukisan muka dan membuat kad hari jadi untuk A.R.I.F. Mereka juga seronok bergambar dan menari bersama A.R.I.F. memang hari yang penuh keseronokan sambil belajar melalui permainan. Selamat hari jadi, A.R.I.F.! Semoga terus menginspirasikan lebih ramai kanak-kanak agar sentiasa ingin tahu dan seronok meneroka dunia sains."

Kehadiran memberangsangkan serta penyertaan aktif pengunjung membuktikan peranan berterusan Petrosains sebagai platform nasional dalam memperkasakan pendidikan STEM interaktif dan pembangunan masyarakat melalui literasi sains. Lebih daripada sekadar hiburan, sambutan ini menunjukkan bagaimana pembelajaran berasaskan pengalaman mampu memupuk rasa ingin tahu, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda.

Seiring aspirasi Malaysia dalam memperkukuhkan agenda STEM dan inovasi negara, Petrosains terus komited menjadikan sains lebih mudah diakses, inklusif dan menarik untuk semua lapisan masyarakat. Inisiatif seperti sambutan A.R.I.F.’s ONE-derland memperkukuhkan kepentingan pendedahan awal terhadap STEM menerusi pembelajaran berasaskan permainan dalam usaha menyemai minat berterusan terhadap sains dan teknologi.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Petrosains terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi edutainment utama negara yang bukan sahaja menyumbang kepada sektor pelancongan, malah turut menyokong aspirasi Malaysia dalam membangunkan masyarakat berteraskan ilmu pengetahuan.

Sempena cuti sekolah yang sedang berlangsung, orang ramai khususnya keluarga disaran untuk meneroka pelbagai pameran interaktif terbaru, aktiviti STEM serta program khas cuti sekolah di Petrosains yang direka untuk menginspirasikan penerokaan ilmu dan pengalaman pembelajaran bersama.

Ikuti Petrosains di Facebook, Instagram, TikTok dan LinkedIn untuk maklumat lanjut dan perkembangan program terkini:

Media Sosial Petrosains:
Facebook: Petrosains - The Discovery Centre
Instagram: @instapetrosains
TikTok: @petrosains
LinkedIn: Petrosains Sdn Bhd
Laman Sesawang: www.petrosains.com.my