Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

APMM Terima Helikopter AW189, Perkukuh Keupayaan Operasi Maritim

AW189
Kredit: Facebook APMM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini diperkukuh dengan penerimaan helikopter pertama daripada empat buah helikopter Medium Lift jenis AW189 bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerimaan aset udara baharu itu bukan sekadar menambah kekuatan armada APMM, malah mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

Menurutnya, AW189 akan digunakan bagi pelbagai operasi termasuk penguatkuasaan, CARILAMAT, pengawasan udara, MEDEVAC dan operasi khas.

“Helikopter AW189 mempunyai jarak operasi sehingga 1,166 kilometer, kelajuan maksimum 313 kilometer sejam dan endurance sehingga lima jam serta mampu beroperasi siang dan malam dalam pelbagai keadaan cuaca,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Helikopter AW189 APMM di Stesen Udara Maritim Subang, hari ini.

Saifuddin berkata, helikopter berkenaan dikendalikan lima kru dan mampu membawa sehingga 14 penumpang, sekali gus memberikan keupayaan tindak balas lebih pantas dan fleksibel, khususnya bagi operasi di perairan yang jauh dari pesisir.

Jelasnya, dengan penerimaan aset itu, APMM kini diperkukuh dengan empat buah helikopter AW189 berkeupayaan tinggi bagi menyokong operasi penguatkuasaan, CARILAMAT, pengawasan udara, MEDEVAC serta operasi khas di seluruh perairan negara.

“Penerimaan AW189 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memodenkan dan memperkukuh aset udara Maritim Malaysia agar kekal relevan dengan tuntutan operasi semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, peningkatan keupayaan aset berkenaan penting susulan tanggungjawab besar APMM dalam memastikan keselamatan perairan negara.

Menurutnya, sehingga 24 Julai 2026, APMM telah melaksanakan 116,192 pemeriksaan dan 26,253 penggeledahan, selain membuat 562 tangkapan dengan nilai rampasan melebihi RM4.38 bilion.

“Bagi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), sebanyak 129 kes melibatkan 638 mangsa telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, perolehan empat AW189 itu diluluskan melalui Rolling Plan Keempat (RP4), RMKe-11, dengan kontrak selama lima tahun dari 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029.

Saifuddin berkata, kerajaan akan terus memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa melalui pemodenan aset, penggunaan teknologi, peningkatan kompetensi modal insan serta kerjasama strategik.

“Dengan aset moden, anggota yang kompeten dan teknologi yang dimanfaatkan sepenuhnya, Maritim Malaysia akan terus menjadi benteng hadapan negara dalam menjaga keselamatan maritim dan kedaulatan Malaysia,” jelasnya.

Intipati
  • APMM menerima helikopter AW189 pertama daripada empat unit untuk memperkukuh operasi maritim negara.
  • AW189 mampu terbang sehingga lima jam dan membawa 14 penumpang bersama lima kru.
  • Perolehan empat helikopter itu diluluskan melalui RP4 RMKe-11 dengan kontrak lima tahun.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan