Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Aplikasi TuJu Catat Lebih Sejuta Pengguna Susulan Larangan Waze - Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Aplikasi navigasi tempatan TuJu mencatatkan lebih sejuta pengguna dalam tempoh beberapa hari selepas larangan penggunaan Waze oleh pegawai kerajaan bagi urusan rasmi.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata jumlah muat turun aplikasi itu meningkat daripada kira-kira 200,000 dalam tempoh tujuh bulan kepada 800,000 sebelum melepasi sejuta pengguna dalam beberapa hari.

Beliau bagaimanapun berkata peningkatan mendadak muat turun aplikasi yang dibangunkan Prosignal Consortium Sdn Bhd itu memberi tekanan kepada kapasiti sistem sedia ada sehingga mengakibatkan gangguan teknikal terhadap fungsi navigasi aplikasi berkenaan.

“Peningkatan pengguna yang mendadak itu menyebabkan caj bayaran langganan oleh penyedia perkhidmatan peta navigasi telah melebihi had bayaran sehingga Prosignal kena membayar RM300,000 dalam masa satu hari, contohnya.

“Susulan itu, LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) bersama Prosignal telah melaksanakan langkah pemulihan dan penambahbaikan aplikasi TuJu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad berkata LLM turut menyelaraskan perbincangan dengan agensi berkaitan termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Kementerian Digital, Jabatan Digital Negara dan GovTech Malaysia bagi menambah baik sistem aplikasi berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata bermula 6 Nov lepas, TuJu menggunakan fungsi navigasi yang dipautkan menerusi hyperlink terus kepada Google Maps sebagai langkah alternatif bagi mengoptimumkan kos pengoperasian sistem.

“Pelaksanaan tindakan penyelesaian serta perkhidmatan utama aplikasi TuJu ini telah tersedia dan boleh diakses penuhnya oleh semua pengguna peranti platform iOS mahupun Android,” katanya.

Ahmad berkata aplikasi itu yang dilancarkan secara rasmi pada 26 Nov 2025 pada asalnya dibangunkan sebagai platform penyampaian maklumat trafik lebuh raya bertol secara masa nyata bagi membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih baik, sebelum fungsi navigasi diperkenalkan sebagai nilai tambah.

Beliau berkata antara ciri utama TuJu ialah carian lokasi kawasan rehat dan rawat (R&R), bantuan kecemasan, paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung serta maklumat trafik masa nyata.

Sementara itu, Ahmad berkata sebanyak 73,926 aduan diterima menerusi aplikasi MyJalan sejak Ogos 2023 hingga Oktober 2026 melibatkan pelbagai isu termasuk garisan jalan, halangan, jalan berlubang, jalan rosak, kemudahan awam, lampu isyarat, lampu jalan, papan tanda dan tanah runtuh.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 23,639 aduan atau 31.98 peratus melibatkan jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri di bawah bidang kuasa KKR, dengan 22,888 aduan atau 96.82 peratus telah diselesaikan manakala baki 751 aduan atau 3.12 peratus masih dalam siasatan.

Ahmad berkata baki 50,287 aduan atau 68.02 peratus melibatkan jalan di bawah bidang kuasa kementerian lain termasuk jalan bandaran, jalan kampung, jalan pertanian, jalan negeri Sabah dan Sarawak serta jalan persendirian.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan KKR supaya mendapatkan maklum balas segera mengenai status penyelesaian dan tindakan yang telah diambil kementerian berkaitan terhadap aduan berkenaan.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM10,882,226,100 yang diperuntukkan kepada KKR dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 28 Ahli Parlimen.


Sumber:BERNAMA
Intipati
  • TuJu melepasi sejuta pengguna selepas larangan Waze bagi urusan rasmi pegawai kerajaan.
  • Lonjakan muat turun memberi tekanan kepada sistem dan meningkatkan kos langganan peta navigasi.
  • Sebanyak 73,926 aduan diterima menerusi MyJalan sejak Ogos 2023 hingga Oktober 2026.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan