Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Paris -- Seorang lagi anggota tentera Perancis meninggal dunia pada Rabu akibat kecederaan dialami dalam serangan hendap hujung minggu lalu terhadap pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, lapor AFP.
Memetik kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, serangan tersebut didakwa dilancarkan oleh Hizbullah
Seorang anggota pertama, sarjan staf Florian Montorio, ditembak mati dalam serangan hendap pada Sabtu.
Bagaimanapun, Hezbollah nafi bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
“Korporal Anicet Girardin dibawa pulang semalam dari Lubnan, di mana dia cedera parah akibat serangan pejuang Hizbullah, meninggal dunia pagi ini akibat kecederaannya,” kata Macron menerusi hantaran di platform X.
Girardin merupakan salah seorang daripada tiga anggota yang cedera dalam serangan sama.
Mendiang merupakan anggota unit khas pengendali anjing dan terlibat dalam misi membersihkan laluan yang dipasang bahan letupan buatan sendiri.
Menteri Angkatan Tentera Perancis, Catherine Vautrin, berkata Girardin terlibat dalam misi untuk membersihkan laluan yang dipasang dengan bahan letupan terubah suai.
“Ketika diserang tembakan berterusan daripada pejuang Hezbollah yang bersembunyi pada jarak sangat dekat, dia bergerak membantu ketua seksyennya yang tercedera, sebelum terkena tembakan bertubi-tubi,” katanya dalam hantaran di X.
Macron dan Vautrin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Girardin merupakan anggota ketiga tentera Perancis yang maut sejak tercetusnya pertempuran di Asia Barat.
Dua lagi termasuk Montorio serta Arnaud Frion yang terbunuh bulan lalu akibat serangan dron didakwa milik Iran di wilayah Kurdistan, Iraq.
Macron serta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, mendakwa Hizbullah yang disokong Iran bersalah atas serangan pada Sabtu terhadap pasukan pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Menurut Macron, anggota tentera Perancis yang bertugas dalam UNIFIL menjalankan tugas dengan berani dan penuh tekad demi kepentingan Perancis serta keamanan di Lubnan.