Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anak Syurga Dinobatkan Tokoh Akademik PPKI 2026, Kisah Rania Undang Sebak

syurga
Kredit: Threads noor_liana_hassan
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Kejayaan seorang murid berstatus orang kurang upaya (OKU) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) 2026 mengundang perhatian selepas kisahnya dikongsikan oleh ibu sendiri di media sosial.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai @noor_liana_hassan meluahkan rasa gembira dan bangga apabila anaknya, Rania, berjaya menerima pengiktirafan tersebut.

Kredit: Threads noor_liana_hassan

Lebih membanggakan, Rania turut memperoleh pencapaian terbaik dalam tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Pendidikan Islam dan Sains Alam Sekitar.

Menurut ibunya, Rania yang dikategorikan sebagai murid OKU ketidakupayaan intelektual itu turut memperoleh keputusan 4A 5B dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada tahun lalu.

“Boleh saya kongsikan kegembiraan ini? Anak syurga saya yang dikategorikan sebagai OKU ketidakupayaan intelektual naik ke pentas sebagai Tokoh Akademik PPKI 2026 semalam.

“Terbaik bagi mata pelajaran Matematik, Pendidikan Islam dan Sains Alam Sekitar. Tahun lepas UPKK mendapat 4A 5B. Alhamdulillah,” kongsi ibunya.

Kredit: Threads noor_liana_hassan

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi pengguna Threads yang rata rata mengucapkan tahniah serta memberikan kata kata semangat kepada Rania dan keluarganya.

Antaranya, @eatnshopcombo menyifatkan tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan anak sebagai satu amanah besar, lebih lebih lagi apabila anak berdepan cabaran tertentu.

Menurutnya, ibu bapa perlu terus berjuang dan memberikan sokongan demi kejayaan serta masa depan anak.

“Tanggungjawab ibu bapa dalam menjalankan amanah membesarkan anak sangat berat. Apabila mengetahui anak merupakan OKU, ibu bapa perlu memilih sama ada mahu mengalah dan pasrah atau terus berjuang demi kejayaan serta masa depan anak.

“Tahniah kepada anak dan ibu bapanya,” katanya.

Sementara itu, @qist.mukhtar turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Rania dan keluarganya.

“Alhamdulillah, hebatnya Rania dan ibu bapanya. Saya turut bangga. Tahniah Rania dan ibu bapa,” komennya.

Dalam ruangan komen, @noor_liana_hassan turut berkongsi beberapa cabaran yang dihadapi anaknya, termasuk kesukaran memahami arahan dan bergaul dengan rakan sebaya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rania mempunyai autisme tahap ringan dan berfungsi tinggi serta mengalami perubahan emosi.

Mengulas mengenai pendidikan anaknya, beliau memaklumkan Rania kini mengikuti pembelajaran secara separa inklusif dan bukan sepenuhnya dalam kelas PPKI.

Katanya, penempatan Rania apabila melangkah ke sekolah menengah kelak bergantung kepada makluman pihak sekolah.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ibu bapa lain yang mempunyai anak mengikuti pendidikan khas.

Pengguna Threads, @helwahafiza berkongsi bahawa anaknya juga mengikuti PPKI dan bakal melangkah ke Tingkatan Satu pada tahun hadapan selepas melalui laluan pendidikan berkenaan.

“Alhamdulillah, anak PPKI saya juga bakal masuk Tingkatan Satu tahun depan. Dari PPKI ke aliran perdana,” kongsinya.

Selain itu, @pe_juangdarat turut mengajak orang ramai untuk terus memberikan sokongan antara satu sama lain.

Tidak kurang juga, @saifuloii mengakui tersentuh membaca kisah berkenaan kerana berpendapat setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri.

“Sebak pula baca. Kadangkala kita terlalu fokus pada kekurangan seseorang sehingga terlupa setiap insan mempunyai kelebihan yang Allah kurniakan. Tahniah adik,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @lelayangbest turut berkongsi bahawa dirinya melalui pengalaman yang hampir sama, namun anaknya kini berusia enam tahun.

“Ia membuatkan saya rasa ingin menangis. Kita melalui pengalaman yang sama, cuma anak lelaki saya baru berusia enam tahun,” responsnya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Rania dinobatkan Tokoh Akademik PPKI 2026 selepas kisahnya dikongsi ibunya di Threads.
  • Beliau meraih pencapaian terbaik dalam Matematik, Pendidikan Islam dan Sains Alam Sekitar.
  • Ibunya berkata Rania mengikuti pembelajaran separa inklusif dan mempunyai autisme tahap ringan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan