Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Amazfit Perkenal T-Rex Dual Solar, Jam Pintar Dengan Pengecasan Solar Dwi-Sisi

Amazfit memperkenalkan T-Rex Dual Solar, jam tangan pintar premium yang dilengkapi teknologi pengecasan solar dwi-sisi dan direka khusus untuk aktiviti lasak serta pengembaraan jarak jauh.

Menurut kenyataan Amazfit, jenama peranti boleh pakai pintar di bawah Zepp Health itu, T-Rex Dual Solar merupakan jam tangan pintar dengan paparan AMOLED pertama di dunia yang menggunakan sistem pengecasan solar menerusi dua permukaan, iaitu bahagian hadapan dan belakang peranti.

Teknologi berkenaan membolehkan jam tangan mengumpul tenaga solar melalui paparan serta plat belakang seramik kaca, sekali gus membantu memanjangkan tempoh penggunaan bateri ketika pengguna berada di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada sumber elektrik.

T-Rex Dual Solar menawarkan ketahanan bateri sehingga 25 hari untuk penggunaan biasa, manakala pendedahan kepada cahaya matahari selama tiga jam sehari pada tahap 50,000 lux berpotensi memanjangkan hayat bateri sehingga 34 hari berdasarkan ujian yang dijalankan Amazfit.

Panel solar pada bahagian belakang pula mempunyai kawasan pengumpulan tenaga dua kali lebih besar berbanding panel hadapan, membolehkan pengguna memaksimumkan pengecasan dengan mendedahkan bahagian belakang jam kepada cahaya matahari.

Peranti itu turut dilengkapi Mod Keutamaan Solar yang mengurangkan penggunaan kuasa bagi memaksimumkan pengumpulan tenaga solar, termasuk membolehkan jam tangan dihidupkan semula menggunakan cahaya matahari selepas kehabisan bateri.

Naib Presiden Pemasaran Global Amazfit, Sara Webster Wylie berkata pihaknya mahu menghasilkan jam tangan yang bukan sahaja sesuai untuk kegunaan harian, malah mampu berfungsi dalam keadaan mencabar ketika pengguna berada jauh daripada sumber kuasa.

“Dengan T-Rex Dual Solar, kami tidak mahu pengguna terpaksa memilih antara paparan premium yang terang untuk kegunaan harian dengan ketahanan bateri yang diperlukan ketika menjalankan aktiviti luar.

“Gabungan teknologi AMOLED dan pengecasan solar membolehkan kami menawarkan kedua-dua kelebihan itu dalam satu peranti,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi spesifikasi, T-Rex Dual Solar dilengkapi paparan AMOLED bersaiz 1.32 inci dengan tahap kecerahan maksimum sehingga 3,000 nits, selain menggunakan bezel titanium gred 5 dan kaca nilam yang tahan calar.

Jam tangan berkenaan turut mempunyai ketahanan air 10 ATM serta menyokong aktiviti menyelam rekreasi sehingga kedalaman 50 meter.

Selain bateri berkapasiti 660 mAh, peranti itu menawarkan tempoh penggunaan sehingga 41 jam dalam Mod GPS Ketepatan.

Bagi menyokong aktiviti pengembaraan, Amazfit menyediakan Mod Outdoor Extreme yang mengurangkan penggunaan tenaga sambil mengekalkan fungsi penting seperti perekodan titik jejak GPS.

Mod Ekspedisi pula direka untuk perjalanan selama beberapa hari dengan memanfaatkan tetapan penggunaan kuasa rendah.

Dari aspek navigasi, T-Rex Dual Solar dilengkapi peta berwarna penuh, perancangan laluan pintar, panduan arah belokan demi belokan serta paparan profil ketinggian bagi membantu pengguna mengenal pasti laluan pendakian dan penurunan.

Peranti itu turut menawarkan fungsi LiveShare yang membolehkan pengguna berkongsi lokasi masa nyata, arah pergerakan dan maklumat aktiviti dengan keluarga, rakan atau ahli pasukan.

Ciri tambahan termasuk lampu suluh terbina dalam dengan pilihan cahaya merah untuk kegunaan pada waktu malam.

Sementara itu, aplikasi Zepp membolehkan pengguna mengakses maklumat berkaitan latihan, pemulihan dan aktiviti luar menerusi satu platform tanpa memerlukan langganan.

T-Rex Dual Solar akan mula dijual di Malaysia pada 23 Oktober 2026 pada harga RM2,799 menerusi laman web rasmi Amazfit serta platform e-dagang Shopee, Lazada dan TikTok.

Sempena pelancaran, pembeli menerusi laman web rasmi Amazfit akan menerima khemah perkhemahan percuma bernilai kira-kira RM499, manakala pembelian melalui Shopee, Lazada atau TikTok didatangkan dengan beg galas Decathlon percuma.

Kedua-dua tawaran promosi itu tertakluk kepada ketersediaan stok.

Intipati
  • Amazfit memperkenalkan T-Rex Dual Solar dengan pengecasan solar melalui bahagian hadapan dan belakang.
  • Bateri jam pintar itu mampu bertahan sehingga 34 hari berdasarkan ujian Amazfit.
  • Peranti ini menawarkan peta berwarna, LiveShare, mod ekspedisi dan ketahanan air 10 ATM.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan