Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal tampil dengan logo baharu yang akan diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun keduanya pada 19 Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Suhaily Zain, pada sidang media bagi memberi penjelasan berhubung video tular yang membabitkan beliau di KLIA Terminal 1, Khamis lepas.
AKPS bakal tampil dengan logo baharu
Menariknya, logo baharu berkenaan bukan sekadar identiti rasmi agensi, malah setiap elemen yang digunakan membawa maksud tersendiri termasuk burung helang, sundang, sembilan bintang serta tiga warna utama.
Menurut Suhaily, pengenalan logo baharu itu susulan teguran bahawa logo lama tidak boleh digunakan kerana mempunyai elemen Jata Negara.
“Logo lama kita mendapat teguran, ia tidak boleh digunakan disebabkan ada Jata Negara. Jata Negara mempunyai akta, jadi kita tidak boleh menggunakannya.
“Jadi, mengambil daripada situ, kita telah pun membuat logo baharu yang akan kita rasmikan pada ulang tahun kedua AKPS yang dijadualkan pada 19 Oktober di KLIA,” katanya.
Burung helang simbol sifat sentiasa memantau
Menurut Suhaily, burung helang dipilih sebagai salah satu elemen utama logo kerana sifatnya yang sentiasa memantau dari udara dan hanya bertindak apabila diperlukan.
Katanya, sifat berkenaan menggambarkan peranan AKPS yang sentiasa memerhati keadaan dan mengambil tindakan apabila diperlukan.
“Dia tidak seganas harimau. Dia cukup untuk memastikan dia terus berlangsung hidup bangsa dan ahli keluarganya. Itulah sifat helang.
“Apa orang hendak cakap pun, kita akan terbang lagi tinggi supaya yang cuba mengikat kita atau mengejar kita akan jatuh ke bawah,” katanya.
Sundang bawa identiti warisan Melayu
Selain helang, elemen sundang turut digunakan bagi membawa identiti warisan masyarakat Melayu dalam logo baharu berkenaan.
Suhaily berkata masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempunyai dua alat senjata utama iaitu keris dan pedang.
“Kalau keris dalam konteks moden ialah pistol, pedang pula dalam konteks moden ialah rifle atau M16.
“Warisan negara tersebut kita jadikan sebagai perisai,” katanya.
Sembilan bintang lambangkan Raja Melayu
Logo baharu itu turut menampilkan sembilan bintang yang melambangkan sembilan Raja Melayu.
Sementara itu, lima lagi elemen bintang dikaitkan dengan negeri-negeri yang mempunyai Yang Dipertua Negeri.
Tiga warna turut ada maksud
Tidak ketinggalan, tiga warna utama iaitu merah, hijau dan biru turut mempunyai maksud tersendiri.
Suhaily berkata warna berkenaan turut mempunyai kaitan dengan elemen pertahanan negara.
“Warna ini tentera pun pakai yang sama, biru udara, hijau darat dan merah udara,” katanya.
Logo baharu AKPS itu dijadualkan diperkenalkan secara rasmi pada sambutan ulang tahun kedua agensi berkenaan yang akan berlangsung di KLIA pada 19 Oktober ini.

