Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Guna 'Aircond' & Kipas Serentak Tapi Bil Elektrik Masih Jimat, Ini Rahsianya

suhaila
'Aircond' + Kipas Serentak Tapi Bil Elektrik Masih Jimat, Ini Rahsianya
Gambar AI

'Aircond' + Kipas Serentak Tapi Bil Elektrik Masih Jimat, Ini Rahsianya

Dalam cuaca panas dan lembap seperti di Malaysia, penggunaan penghawa dingin sudah menjadi satu keperluan bagi ramai orang. Terutamanya pada waktu malam dan hari panas. Namun ramai mula mencari cara untuk kekal selesa tanpa perlu berbelanja terlalu tinggi apabila bil elektrik mula meningkat setiap bulan.

Salah satu kaedah yang sering disarankan ialah menggunakan aircond bersama kipas secara serentak. Walaupun ada yang menyangka cara ini hanya akan menambah penggunaan elektrik. Hakikatnya gabungan kedua-duanya sebenarnya boleh membantu menjimatkan tenaga jika digunakan dengan teknik yang betul.

Ramai pengguna melakukan kesilapan dengan memasang suhu aircond terlalu rendah kerana mahu bilik cepat sejuk. Sedangkan penggunaan kipas sebenarnya mampu membantu mengedarkan udara dingin dengan lebih efektif ke seluruh ruang bilik.

Apabila aliran udara menjadi lebih sekata, penghawa dingin tidak perlu bekerja terlalu keras untuk mengekalkan suhu yang nyaman. Disebabkan itu, penggunaan aircond dan kipas secara bersama dapat memberikan keselesaan lebih baik serta membantu mengurangkan beban penggunaan elektrik dalam jangka panjang.

1. Tetapkan suhu aircond pada tahap sederhana

Salah satu langkah paling penting untuk jimat elektrik ialah menetapkan suhu penghawa dingin pada kadar yang sesuai. Tidak perlu menetapkan suhu terlalu rendah seperti 16°C atau 18°C semata-mata mahu bilik terasa sejuk dengan cepat.

Suhu yang terlalu rendah akan menyebabkan compressor bekerja secara berterusan dan menggunakan lebih banyak tenaga elektrik. Sebaliknya, suhu sekitar 24°C hingga 26°C sebenarnya sudah cukup selesa terutama apabila kipas turut digunakan dalam bilik yang sama.

Dengan bantuan kipas, udara sejuk dapat bergerak dengan lebih pantas dan menyeluru dan menjadikan ruang terasa nyaman walaupun suhu aircond tidak terlalu rendah. Cara ini nampak mudah tetapi kesannya terhadap penjimatan bil elektrik memang cukup ketara jika diamalkan setiap hari.

2. Gunakan kipas sebagai penyebar udara sejuk

Ramai menyangka kipas hanya digunakan untuk menambah kesejukan. Sedangkan fungsi utamanya ketika menggunakan aircond ialah membantu menyebarkan udara dingin ke seluruh bilik dengan lebih sekata.

Kadangkala udara sejuk hanya berkumpul di kawasan tertentu berhampiran penghawa dingin yang akan menyebabkan bahagian lain dalam bilik masih terasa panas atau kurang nyaman.

Apabila kipas dipasang pada kelajuan rendah atau sederhana, udara sejuk dapat bergerak dengan lebih baik dan memenuhi keseluruhan ruang bilik.

Ini membolehkan penghawa dingin mencapai suhu yang ditetapkan dengan lebih cepat tanpa perlu bekerja terlalu lama. Selain membantu menjimatkan tenaga, suasana bilik juga akan terasa lebih selesa dan tidak terlalu sejuk pada satu-satu bahagian sahaja.

3. Gunakan mod penjimatan tenaga pada aircond

Kebanyakan penghawa dingin moden hari ini dilengkapi dengan fungsi seperti Eco Mode atau Dry Mode yang direka khusus untuk penggunaan tenaga lebih rendah. Malangnya, masih ramai pengguna yang tidak memanfaatkan fungsi ini dan hanya menggunakan mod penyejukan biasa sepanjang masa.

Mod seperti ini sebenarnya sangat membantu terutama ketika cuaca tidak terlalu panas atau pada waktu malam. Fungsi tersebut membantu mengawal kelembapan udara serta mengekalkan suhu yang selesa tanpa menggunakan kuasa elektrik secara berlebihan.

Apabila digabungkan dengan penggunaan kipas, bilik masih boleh terasa nyaman walaupun penggunaan tenaga menjadi lebih minimum.

4. Pastikan bilik tidak membebaskan udara sejuk

Satu lagi perkara yang sering diabaikan ialah keadaan bilik itu sendiri. Tidak kira sehebat mana penghawa dingin digunakan, jika pintu atau tingkap tidak ditutup rapat, udara sejuk akan mudah keluar dan menyebabkan aircond bekerja lebih keras untuk mengekalkan suhu.

Selain memastikan pintu dan tingkap sentiasa tertutup, penggunaan langsir juga sangat membantu terutama pada waktu siang.

Cahaya matahari yang masuk secara terus boleh meningkatkan suhu bilik dengan cepat dan membuatkan penghawa dingin mengambil masa lebih lama untuk menyejukkan ruang tersebut. Semakin kurang haba memasuki bilik, semakin mudah sistem penyejukan berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan tenaga.

5. Gunakan timer ketika tidur

Ramai pengguna membiarkan aircond terpasang sepanjang malam tanpa menyedari bahawa suhu badan sebenarnya sudah mula menyesuaikan diri selepas beberapa jam tidur. Dalam keadaan ini, penggunaan timer merupakan antara cara paling mudah untuk mengurangkan penggunaan elektrik tanpa menjejaskan keselesaan.

Sebagai contoh, aircond boleh ditetapkan untuk tertutup secara automatik selepas dua hingga empat jam, manakala kipas dibiarkan terus berfungsi sehingga pagi.

Kaedah ini membolehkan bilik kekal nyaman tanpa penggunaan tenaga yang berlebihan sepanjang malam. Jika diamalkan secara konsisten, ia mampu memberi perbezaan besar terhadap jumlah bil elektrik bulanan.

6. Servis aircond secara berkala

Selain itu, penghawa dingin yang jarang diselenggara juga biasanya akan menjadi kurang efisien. Habuk yang terkumpul pada penapis atau sistem dalaman boleh mengganggu aliran udara dan menyebabkan proses penyejukan menjadi lebih perlahan.

Akibatnya, aircond perlu bekerja lebih lama untuk mencapai suhu yang diinginkan dan ini secara tidak langsung meningkatkan penggunaan elektrik. Melakukan servis secara berkala bukan sahaja membantu memastikan udara yang keluar lebih bersih dan segar malah menjadikan sistem penyejukan lebih lancar serta menjimatkan tenaga.

Penyelenggaraan yang baik juga boleh memanjangkan jangka hayat penghawa dingin dan mengelakkan kerosakan besar yang memerlukan kos tinggi di kemudian hari.

Secara keseluruhannya, penggunaan aircond dan kipas secara serentak bukanlah satu pembaziran seperti yang disangka ramai. Jika digunakan dengan teknik yang betul, kombinasi ini sebenarnya membantu menghasilkan suasana yang lebih selesa sambil mengurangkan penggunaan tenaga elektrik secara lebih efektif.

Apa yang penting ialah cara pengguna mengawal suhu, aliran udara dan keadaan bilik itu sendiri. Dengan beberapa perubahan kecil dalam rutin harian, rumah bukan sahaja terasa lebih nyaman malah bil elektrik juga dapat dikawal dengan lebih baik setiap bulan.