Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merekodkan sebanyak 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada tahun 2025, mencerminkan peningkatan ketara dalam penggunaan pembayaran digital yang kini semakin menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Peningkatan ini didorong oleh penerimaan yang semakin meluas dalam kalangan bank, institusi bukan bank, perniagaan dan pengguna, sekali gus menunjukkan peranan pembayaran digital yang semakin penting dalam aktiviti harian.
Transaksi yang direkodkan merangkumi pelbagai kegunaan harian termasuk pembelian runcit, pengangkutan, pemindahan wang antara individu serta urus niaga perniagaan kecil, sekaligus menandakan pembayaran digital kini telah menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat.

Perkembangan ini selaras dengan agenda pembayaran digital negara seperti yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Pelan Induk Sektor Kewangan 2022–2026 serta diperkukuh dalam Laporan Tahunan 2025 BNM, yang memberi penekanan kepada akses inklusif, penggunaan yang selamat serta pembangunan infrastruktur pembayaran negara yang cekap dan boleh dipercayai.

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, “Pertumbuhan pembayaran digital yang berterusan mencerminkan perubahan yang semakin ketara dalam cara rakyat Malaysia mengurus kewangan harian. Pembayaran digital kini semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna, perniagaan dan perkhidmatan awam, didorong oleh hasil inovasi berterusan serta kerjasama erat antara bank, institusi bukan bank, peniaga dan kerajaan.
Dengan peningkatan ini, PayNet kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pembayaran melalui usaha memperkukuh infrastruktur yang stabil, selamat dan mudah diakses di seluruh negara.”
Pertumbuhan pada tahun 2025 dipacu oleh penyertaan yang semakin meluas dalam ekosistem pembayaran, apabila bank dan institusi bukan bank terus memperluas akses kepada pengguna dan peniaga. Jumlah transaksi oleh bank meningkat sebanyak 30.69 peratus, manakala transaksi oleh institusi bukan bank mencatatkan pertumbuhan sebanyak 71.7 peratus, mencerminkan ekosistem pembayaran yang semakin pelbagai dan inklusif.
Secara keseluruhan, peningkatan jumlah transaksi menyumbang kepadapurata 6.3 juta transaksi setiap hari berbanding tahun 2024, dengan aktiviti pembayaran digital yang lebih ketara semasa musim perayaan dan cuti hujung tahun.
Penggunaan pembayaran digital terus berkembang dalam kalangan perniagaan dan rakyat Malaysia. Sebanyak 681,250 tempat penerimaan baharu DuitNow QR diperkenalkan, termasuk 267,780 dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjadikan jumlah keseluruhan titik sentuh berdaftar di seluruh negara melebihi tiga juta.
Pertumbuhan paling ketara direkodkan di Terengganu, Kelantan dan Kedah, dengan jumlah transaksi di kawasan luar bandar meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan penggunaan yang semakin meluas dan berterusan dalam pelbagai lapisan masyarakat.
Inisiatif seperti PayNet Digital Campus, yang menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pelajar, universiti dan komuniti sekitarnya, serta Cashless Boleh, yang menyokong penggunaan pembayaran digital dalam sektor awam dan kerajaan, turut mempercepatkan penggunaan dalam persekitaran harian. PayNet Fintech Hub pula menyokong pembangunan ekosistem dengan menghimpunkan syarikat pemula fintech, institusi kewangan dan rakan ekosistem bagi mempercepat inovasi serta memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan digital.
Peningkatan penggunaan pembayaran digital turut menimbulkan cabaran baharu, khususnya penipuan kewangan. Taktik penipuan yang semakin canggih, termasuk penggunaan kecerdasan buatan, deepfake dan kejuruteraan sosial, menjadikan penipuan lebih sukar untuk dikesan dan dicegah.
Bagi menangani cabaran ini, usaha menyeluruh terus diperkukuh melalui kerjasama erat antara institusi kewangan, pengawal selia dan rakan dalam ekosistem. National Fraud Portal (NFP), yang dibangunkan oleh PayNet berfungsi sebagai platform berpusat untuk perkongsian maklumat antara institusi, mempercepatkan pengenalpastian akaun keldai serta penyelarasan tindakan dalam menangani aktiviti penipuan, di samping menyokong usaha pemulangan dana.
PayNet menyokong usaha ini dengan mengendalikan dan menyelenggara infrastruktur NFP, membantu Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) memastikan respons yang pantas terhadap laporan penipuan, serta bekerjasama dengan institusi kewangan dan pengawal selia bagi memperkukuh keupayaan tindak balas di peringkat ekosistem.
Pada tahun 2025, usaha ini telah membantu mengesan kira-kira 57,700 akaun mangsa, dengan sekitar RM46 juta dana dikenal pasti dan sedang dalam proses dipulangkan kepada pengguna yang terjejas.
Dengan peningkatan jumlah transaksi, keutamaan terus diberikan kepada keupayaan sistem dan kepercayaan pengguna. Rangkaian PayNet memproses purata 260 transaksi sesaat dengan tahap ketersediaan perkhidmatan sebanyak 99.995 peratus, memastikan operasi berjalan lancar pada skala besar.
“Pertumbuhan pembayaran digital menuntut penekanan berterusan terhadap aspek kepercayaan dan keselamatan. Usaha memperkukuh perlindungan terhadap penipuan serta memastikan infrastruktur kekal berdaya tahan dan mudah diakses akan terus menjadi keutamaan dalam menyokong perkembangan ekosistem ini.” tambah Praveen.

Peningkatan penggunaan domestik membuka ruang kepada perniagaan di Malaysia untuk menyertai aliran pembayaran rentas sempadan melalui rangkaian DuitNow QR yang semakin berkembang.
Pada tahun 2025, hubungan pembayaran QR baharu dengan Kemboja telah diperkenalkan, melengkapkan rangkaian sedia ada dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan China, manakala India dijangka menyusul pada tahun 2026. Perkembangan ini dijangka merancakkan perbelanjaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dengan pertumbuhan transaksi dari China serta potensi peningkatan dari India.
Transaksi QR rentas sempadan meningkat 2.5 kali ganda kepada 29.7 juta transaksi pada tahun 2025. Bagi perniagaan, khususnya PMKS, perkembangan ini membuka akses kepada pasaran pengguna serantau yang lebih luas serta memudahkan penyertaan dalam perdagangan rentas sempadan.
Perniagaan Malaysia kini berupaya menjangkau pengguna serantau dengan lebih cekap, terutamanya dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman serta pelancongan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha serantau seperti Next50 Common Standards Project dan Project Nexus, yang bertujuan memperkasa kesalinghubungan sistem pembayaran di seluruh ASEAN serta menyokong perdagangan, pelancongan dan integrasi ekonomi serantau.
Secara keseluruhannya, perkembangan ini mencerminkan ekosistem pembayaran yang semakin meluas dari segi penyertaan, diperkukuh dari segi kepercayaan dan semakin berhubung di peringkat serantau. Secara keseluruhan, industri kekal komited dan selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan sistem kewangan digital yang lebih inklusif bersepadu, dan selamat.