Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

652 Penjawat Awam Terima RM1.18 Juta Ganjaran Kerana Laporkan Kes Rasuah

RASUAH
Kredit: SPRM

Seramai 652 penjawat awam menerima ganjaran keseluruhan RM1.18 juta selepas tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pemberian ganjaran itu merupakan pengiktirafan terhadap keberanian penjawat awam membantu membanteras kegiatan rasuah.

Menurutnya, empat agensi utama merekodkan jumlah penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang tempoh berkenaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 437 orang, Jabatan Imigresen Malaysia (64), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (33) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) (21).

“Antara kes berprofil tinggi diketengahkan ialah penolakan tawaran rasuah bernilai RM200,000 oleh seorang pegawai PDRM di Perlis susulan kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan, selain kes penolakan suapan RM45,000 di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Abd Halim berkata, program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penilaian Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah Siri 15 Bil 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, bagi siri penilaian 2026, seramai 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan untuk penilaian.

Ia membabitkan PDRM seramai 38 calon, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) 12 calon, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiga calon dan Jabatan Imigresen Malaysia seorang calon.

“Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.

“Semua calon yang dinilai melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah PDRM bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan,” katanya.

Daripada keseluruhan penerima yang dinilai, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 individu diperaku menerima sijil penghargaan.

Jelas Abd Halim, pengiktirafan berkenaan bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, malah menjadi dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain untuk turut tampil melaporkan cubaan rasuah.

Menurutnya, antara kriteria utama yang perlu dipenuhi ialah penjawat awam berkenaan membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga kes selesai dibicarakan di mahkamah.

“Inisiatif pemberian ganjaran ini diperluaskan bukan saja terhad kepada agensi penguatkuasaan, malah kepada seluruh sektor perkhidmatan awam, khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya tampil berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah.

“Keberanian penjawat awam untuk tampil melaporkan cubaan rasuah adalah amat penting dalam membantu usaha membendung kegiatan rasuah dan memperkukuhkan budaya integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Sumber:SPRM