Bila masuk hujung tahun, ramai mula menyusun jadual cuti untuk berehat atau meluangkan masa bersama keluarga.
Tempahan RPP dibuka 22 September
Bagi penjawat awam pula, ada kemudahan penginapan yang boleh dimanfaatkan untuk merancang percutian pada harga yang ditetapkan.
Menariknya, tempahan Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) dan Rumah Tamu (RT) bagi suku keempat tahun 2026 akan dibuka tidak lama lagi.
Jadi, kalau sudah ada tarikh yang ingin dirancang, jangan lupa tandakan 22 September 2026 dalam kalendar kerana tempahan akan mula dibuka pada jam 12.00 tengah hari.
Tempahan dibuka untuk tempoh penginapan hingga Januari 2027
Menurut Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM), tempahan RPP dan RT yang dibuka pada tarikh berkenaan adalah bagi tempoh penginapan bermula 1 Oktober 2026 hingga 3 Januari 2027.
Kemudahan tersebut terbuka kepada penjawat awam, pesara Kerajaan dan badan berkanun yang layak untuk merancang percutian atau urusan penginapan di beberapa lokasi yang disediakan di dalam dan luar negara.
Antara Rumah Peranginan Persekutuan yang disenaraikan ialah:
RPP Pulau Pinang
RPP Morib
RPP Tasik Kenyir
RPP Bukit Fraser
RPP Pulau Pangkor
RPP Port Dickson
RPP Cameron Highlands
RPP Labuan
RPP Tanjung Tuan, Port Dickson
RPP Singapura
RPP London
Selain itu, beberapa Rumah Tamu turut disediakan, termasuk:
RT P11, Putrajaya
RT Ang Sen, Kuala Lumpur
RT Tanjung Kupang, Johor

Perlu daftar PROMIS terlebih dahulu
Bagi yang ingin membuat tempahan, pendaftaran dalam sistem PROMIS perlu dilakukan terlebih dahulu.
Sistem berkenaan digunakan untuk membuat tempahan RPP dan RT serta mengakses perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh BPH.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi PROMIS di https://promis.bph.gov.my/

