Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 7 malam ini.
Amaran tersebut melibatkan negeri Terengganu iaitu di Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.
Bagi negeri Pahang, daerah Jerantut, Rompin dan Cameron Highlands dijangka terlibat.
MetMalaysia berkata hujan lebat juga diramal di beberapa daerah di Johor iaitu Segamat, Batu Pahat, Kluang, Muar, Tangkak, Kulai, Johor Bahru, Pontian dan Kota Tinggi.
Di Sarawak, amaran membabitkan Miri (Marudi dan Miri), Limbang, Bintulu, Mukah (Mukah), Sibu (Selangau dan Sibu).
Manakala di Sabah pula Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Pensiangan), Tawau (Kalabakan dan Tawau), Kudat, Pantai Barat (Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu).
Cuaca buruk juga dijangka berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan.
Amaran hujan lebat

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
