Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

430 Motosikal Honda Model CMX500A Dan CBR650RAC Dipanggil Semula - JPJ
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Boon Siew Honda Sdn. Bhd. akan melaksanakan pemanggilan semula 430 unit motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC.
Perkara ini dilakukan ekoran pengesanan isu teknikal yang berpotensi menjejaskan aspek keselamatan kenderaan.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pemanggilan semula tersebut akan dilaksanakan bermula 25 Mei 2026 melibatkan model yang dikenal pasti terjejas bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan terhadap komponen berkaitan.
Perincian aktiviti pemanggilan semula kenderaan bagi buatan HONDA adalah seperti berikut:
Bagi model CMX500A yang dikeluarkan pada tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 160 kenderaan dipanggil semula atas sebab handle lock screw loosening.

Bagi model CBR650RAC keluaran 2024 hingga 2025, sebanyak 270 kenderaan dipanggil atas sebab wire harness short circuit.

"Semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan masing-masing," katanya.
Pemilik kenderaan juga turut dibenarkan hadir secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara.
Ujar Aedy, sebarang komponen yang dikenal pasti terlibat akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd.
Oleh yang demikian, semua pemilik kenderaan model yang terlibat dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.
Untuk maklumat lanjut, pemilik kenderaan boleh ke mana-mana pusat jualan atau perkhidmatan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. yang berdekatan.
Anda juga boleh hubungi mereka di talian 04-506 3333 (Hotline) atau 03-6144 0963 atau emelkan kepada [email protected] atau https://boonsiewhonda.com.my
"Pihak JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited untuk memastikan semua unit kenderaan yang terlibat akan menjalani pemeriksaan dan disahkan selamat untuk digunakan di jalan raya," katanya lagi.