Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

22,711 Jemaah Haji Malaysia Kini Berada Di Makkah, Sedia Menanti Hari Wuquf

Iqbal Yasir
Jemaah Haji Malaysia
Kredit: Kementerian Haji Arab Saudi

22,711 Jemaah Haji Malaysia Kini Berada Di Makkah, Sedia Menanti Hari Wuquf

MAKKAH -- Seramai 22,711 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat jam 10.00 pagi tadi, menandakan fasa ketibaan kini memasuki peringkat kemuncak menjelang Hari Wuquf yang dijangka jatuh pada 26 Mei ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi haji bagi minggu keempat berjalan dengan sangat lancar hasil kerjasama pelbagai pihak.

Jemaah Haji Malaysia Kini Berada Di Makkah

"Secara keseluruhannya, sebanyak 74 penerbangan dari KLIA telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah serta Jeddah, manakala satu lagi penerbangan iaitu KT076 dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz pada malam ini," maklum kenyataan itu.

Kesemua jemaah haji Malaysia kini dilaporkan telah berada sepenuhnya di Makkah bagi memulakan persiapan fasa seterusnya.

Rombongan jemaah Muassasah terakhir dari Madinah melalui penerbangan KT033 telah pun selamat tiba di Hotel Al Tayseer pada Sabtu lepas.

Dengan berkumpulnya jemaah di Makkah, tumpuan kini beralih kepada persediaan di Masya’ir yang dilaporkan sudah hampir lengkap.

Pihak pengurusan TH dijadualkan melakukan lawatan ke tapak perkhemahan dalam masa terdekat bagi menyelaras persiapan akhir sebelum pergerakan besar-besaran ke Arafah bermula dalam tempoh kurang daripada 15 hari lagi.

Nasihat Kesihatan Daripada TH

Sejajar dengan peningkatan suhu di Tanah Suci, TH menitikberatkan aspek kesihatan dengan mengingatkan para jemaah agar terus menjaga kecergasan diri.

Memandangkan cuaca dijangka menjadi lebih panas menjelang hari wukuf, jemaah dinasihatkan supaya meminum air dengan secukupnya dan sentiasa menggunakan payung sekiranya perlu berada di luar bangunan penginapan.

Pihak TH juga menyeru jemaah untuk mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu bagi mengelakkan risiko tekanan haba serta menyimpan tenaga demi memastikan misi utama untuk berwuquf di Arafah dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Waspada Tawaran Pakej Ziarah Luar Tanah Haram - TH

Selain isu kesihatan, para jemaah turut diingatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran pakej ziarah ke luar Tanah Haram seperti ke Jeddah atau Taif yang ditawarkan oleh pihak luar.

Sebarang pergerakan keluar dari kawasan suci ketika dalam niat haji mempunyai tatacara khusus serta implikasi hukum yang boleh menyebabkan jemaah perlu membayar dam sekiranya melanggar manasik haji.

Justeru, jemaah diminta untuk sentiasa merujuk kepada Pembimbing Ibadat Haji atau Pakar Rujuk TH sebelum bersetuju dengan mana-mana tawaran luar bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau masalah keselamatan di kemudian hari.

Dalam pada itu, TH sekali lagi menegaskan prinsip "Tiada Visa, Tiada Haji" kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi telah memberikan amaran tegas bahawa individu yang menggunakan visa selain visa haji, termasuk visa pelancongan atau kerja, tidak akan dibenarkan memasuki kawasan Makkah, Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Tindakan undang-undang yang ketat akan dikenakan kepada mereka yang ingkar.

Dalam pada itu, TH turut memaklumkan bahawa penyertaan ibadah korban di Tanah Suci melalui sistem THiJARI masih dibuka sehingga 20 Mei ini dengan kadar harga RM810 bagi seekor qibas.