Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

224 Anggota Terlibat Dalam Operasi Perubatan, Pastikan Jemaah Haji Dapat Berwukuf

Athirah
Berwukuf

224 Anggota Terlibat Dalam Operasi Perubatan, Pastikan Jemaah Haji Dapat Berwukuf

Seramai 224 anggota terlibat dalam operasi perubatan haji tahun ini merangkumi pakar perubatan, doktor, jururawat, pakar dietetik, pasukan pendidikan kesihatan, pembantu perubatan dan anggota kesihatan persekitaran.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Perubatan, Dr. Mohamad Zamri Harun berkata pihaknya bekerjasama dengan pasukan kebajikan menerusi program peneman bagi membantu jemaah yang tidak mampu berjalan jauh.

“Mereka tidak semestinya sakit tetapi tidak larat untuk bergerak jauh. Kita menyediakan bas khas untuk membawa mereka,” ujarnya.

Bagi jemaah yang menerima rawatan di Hospital Saudi German, beliau berkata pihak hospital turut bekerjasama membawa jemaah ke Arafah menggunakan ambulans untuk berwukuf sebelum dihantar semula ke hospital.

Dalam pada itu, beliau menegaskan disiplin pengambilan ubat dalam kalangan jemaah terutama pesakit kronik perlu terus dipatuhi walaupun berada di Tanah Suci.

“Pesakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit kronik lain perlu terus makan ubat seperti biasa dan tidak boleh hanya bergantung kepada doa semata-mata

“Perkara ini telah dijelaskan sejak kursus haji di Malaysia lagi supaya jemaah sentiasa berdisiplin menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, pasukan perubatan turut bersiap siaga menghadapi situasi kecemasan dengan bantuan empat ambulans yang mempunyai permit khas untuk membawa pesakit ketika operasi Masyair.

Selain itu, klinik kecemasan turut dibuka di Mina dan Arafah bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan pantas kepada jemaah yang memerlukan.

“Kita juga sedang berusaha mendapatkan permit tambahan untuk 12 ambulans milik Tabung Haji bagi mempercepatkan proses penghantaran pesakit ke hospital Arab Saudi,” ujarnya lagi.

Dalam aspek kesihatan mental pula, beliau menjelaskan bahawa jemaah yang memerlukan rawatan psikiatri akan dirujuk kepada doktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Katanya, secara purata kira-kira 600 pesakit menerima rawatan setiap hari di seluruh klinik operasi perubatan haji termasuk ketika operasi di Madinah sebelum ini.

Walaupun pihak berkuasa Arab Saudi belum mengumumkan sebarang penularan wabak baharu, beliau berkata pasukan perubatan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan awal terhadap jemaah yang menunjukkan gejala penyakit berjangkit.

Beliau turut meminta semua jemaah supaya memperbanyakkan rehat dan minum air secukupnya menjelang hari wukuf.

“Jangan memaksa diri untuk terlalu aktif atau kerap ke Masjidil Haram kerana fokus utama kita adalah memastikan semua jemaah dapat berwukuf di Arafah dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.

Menurut beliau lagi, setiap maktab di Mina turut dilengkapi ruang klinik dan kawasan rawatan kecemasan yang disediakan oleh pihak pengurusan bagi memudahkan rawatan diberikan kepada jemaah sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di Mina nanti.