KANGAR, 27 Okt (Bernama) -- Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) maut manakala dua lagi cedera ketika sedang menjalankan operasi di Sungai Padang, perairan Kuala Perlis di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira 11 malam tadi, bagaimanapun beliau memaklumkan maklumat lanjut mengenainya hanya boleh dikeluarkan pihak APMM.
“Saya hanya boleh sahkan menerima laporan kejadian ini, maklumat lanjut mengenai kejadian ini hanya pihak APMM yang akan keluarkan,” katanya.
Difahamkan, APMM dijangka mengadakan sidang media tentang kejadian itu petang ini.

