Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

207 Rakyat Malaysia Di Australia Kembali Ke Tanah Air

Gambar:BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Apr — Seramai 207 rakyat Malaysia di Australia telah pulang ke tanah air melalui penerbangan komersial, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Sudha Devi KR Vasudevan.

Sudha Devi berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberi khidmat nasihat seperti garis panduan mengenai urusan visa dan dokumen perjalanan, serta maklumat terkini jadual penerbangan kepada rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia, susulan pandemik COVID-19.

“Bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia, mereka boleh menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang setakat ini masih beroperasi di Perth, Australia, iaitu pada 20 dan 27 April ini.

“Berdasarkan rekod kami setakat ini, seramai 207 rakyat Malaysia yang hubungi kami telah pulang ke Malaysia dengan penerbangan komersial,” katanya menerusi temubual Skype langsung dari Canberra, Australia di Buletin Bernama hari ini.

Sehingga semalam, seramai 11,932 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di Australia, dan daripada jumlah tersebut, 25 peratus terdiri daripada penuntut (2,950 orang).

Mengulas bantuan kepada penuntut Malaysia yang berada di kawasan ‘hotspot’ negara itu beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan penuntut Malaysia melalui pejabat ‘Education Malaysia Australia’ dan Pejabat MARA yang bertempat di Sydney selain bekerjasama dengan ‘Malaysian Students’ Council of Australia’ (MASCA).

“Kawasan (hotspot) ini tidak dikenakan ‘lockdown’ dan hanya diarahkan untuk tinggal di rumah, jadi penduduk di kawasan ini masih boleh keluar, untuk mendapatkan barangan asas,” katanya.

Jelasnya, hebahan perkembangan terkini keadaan COVID-19 di negara itu turut dilakukan melalui media sosial dari semasa ke semasa, sebagai usaha menjaga kebajikan serta memastikan rakyat Malaysia di sana selamat.

Sudha Devi turut mengingatkan rakyat Malaysia di Australia untuk mendaftarkan diri di pejabat perwakilan Malaysia yang terdekat, bagi memudahkan pihak kedutaan menyalurkan bantuan.

“Penting untuk mereka berhubung dan mendaftarkan diri dengan perwakilan-perwakilan Malaysia yang terdekat. Australia negara yang besar jadi kena ada koordinasi oleh pelbagai pihak untuk salurkan bantuan,” katanya.

Setakat semalam, wabak COVID-19 di Australia sudah mencatat lebih 6,000 kes dengan 63 kematian. Negeri-negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah New South Wales, Victoria dan Queensland.

— BERNAMA