Sebuah keluarga di Hyderabad disahkan positif Covid-19 selepas mengadakan majlis pertunangan di rumah mereka. Ketua keluarga itu juga telah meninggal dunia dipercayai kerana virus itu, lapor India TV.
Kejadian itu berlaku seminggu selepas majlis yang diadakan di bangunan di kawasan Puranapul.
Menurut kenyataan pihak polis, lelaki 57 tahun itu meninggal dunia pada 11 Mei, sehari selepas majlis pertunangan. Dia seterusnya diuji positif Covid-19.
Pegawai Jabatan Kesihatan dan Perbadanan Perbandaran Greater Hyderabad (GHMC) menghantar 26 ahli keluarga yang lain untuk pemeriksaan dan 15 daripadanya positif. Seramai 40 orang dipercayai telah menghadiri majlis pertunangan tersebut.
“Semua dihantar untuk pemeriksaan tetapi hanya 15 anggota keluarga pengantin perempuan yang didapati positif,” kata pegawai polis dari balai polis Mangalhat.
Tambah laporan itu, sehari selepas upacara itu, ketua keluarga berkenaan tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal dunia. Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati bahawa dia telah dijangkiti virus dari anaknya, iaitu seorang pekerja bank yang dijangkiti jangkitan dari rakannya.
Sumber: India TV