Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

12 Tahun Sabar Menanti, Wanita Timang Kembar Lima
Seorang wanita di wilayah Harari, Habsyah (Ethiopia), melahirkan bayi kembar lima selepas 12 tahun berusaha untuk mendapatkan zuriat, lapor BBC News
Bedriya Adem menyatakan bahawa dia dan suaminya sangat gembira dan bersyukur dianugerahkan lima orang anak serentak.
Wanita berusia 35 tahun itu melahirkan empat bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.
Kesemua mereka diberikan nama Naif, Ammar, Munzir, Nazira, dan Ansar.
"Saya tidak dapat meluahkan kegembiraan ini dengan kata-kata," katanya kepada BBC
Menurut Hospital Pakar Hiwot Fana, kesemua bayi yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat.
Pengarah Perubatan hospital, Dr. Mohammed Nur Abdulahi, memaklumkan bahawa ibu dan bayi-bayi tersebut masih di bawah penjagaan perubatan di hospital berkenaan.
Bayi-bayi itu dilahirkan dengan berat antara 1.3 hingga 1.4kg

Beliau memberitahu BBC bahawa bayi baru lahir yang beratnya melebihi satu kilogram mempunyai peluang tinggi untuk terus hidup dan membesar dengan sihat
Doktor itu juga menjelaskan bahawa Bedriya mengandung secara semula jadi tanpa bantuan persenyawaan in vitro (IVF), memandangkan hospital tersebut tidak menawarkan perkhidmatan berkenaan.
Secara teknikalnya, IVF boleh meningkatkan peluang kelahiran berbilang jika lebih daripada satu embrio dipindahkan.
Walau bagaimanapun, peluang untuk mengandung bayi kembar lima secara semula jadi adalah sekitar satu dalam 55 juta.
Bedriya melahirkan kesemua anaknya melalui pembedahan Caesarean pada petang Selasa.
Pada awalnya, dia diberitahu bahawa beliau hamil kembar empat, namun apabila melahirkan, terdapat seorang lagi bayi tambahan.
"Saya berdoa untuk hanya seorang anak, tetapi Allah memberikan saya lima," katanya ketika menceritakan perasaannya sepanjang penantian yang lama itu.