TELUK INTAN, 25 Sept (Bernama) -- Sebanyak 100 pelajar dalam kalangan B40 di Parlimen Teluk Intan terpilih menyertai Program Anak Angkat Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata program itu bertujuan memberi bimbingan sahsiah dan motivasi berterusan bagi membantu meningkatkan potensi diri, membina keyakinan serta mendorong mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Pendekatan ini penting untuk membina keyakinan, memperkukuh potensi dan memastikan kekangan latar belakang keluarga tidak menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan mereka.
“Gunakan program ini sebagai pecutan akhir persediaan untuk mencapai kecemerlangan yang diimpikan. Guru boleh membimbing, ibu bapa boleh menyokong dan kerajaan boleh menyediakan peluang, tetapi kejayaan akhir memerlukan usaha anda,” katanya.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Nekad Kecemerlangan MADANI: Karnival Santuni MADANI @ Teluk Intan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Horley Methodist di sini hari ini.
Beliau berkata saringan bagi pemilihan anak angkat itu dilaksanakan pelbagai pihak termasuk KPKT, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak.
Dalam pada itu, Nga berkata SMK Horley Methodist terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara pada tahun ini.
Beliau berkata peruntukan sebanyak RM100,000 telah dibelanjakan bagi projek menaik taraf Anjung Digital SMK Horley Methodist termasuk penyediaan peralatan pembelajaran secara digital.
“Menerusi program ini, pelajar dapat menikmati ruang inovatif yang dilengkapi makmal digital dan tablet pintar untuk meningkatkan penerokaan ilmu baharu secara interaktif.
“Bagi warga pendidik, pengintegrasian prasarana moden ini dapat memperkasakan kaedah penyampaian Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) supaya menjadi lebih kreatif, berkesan dan memudahkan urusan pengurusan bilik darjah,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Pasir Damar turut menyumbang sebanyak RM120,000 kepada sekolah itu bagi kerja baik pulih fasiliti seperti menambah penyaman udara, langsir dan sebagainya.
“Peruntukan ini juga digunakan untuk memperbaik tandas sekolah, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pendingin air, pembelian kamera serta set catur.
“Inisiatif penambahbaikan oleh pelbagai pihak tidak akan lengkap tanpa dedikasi barisan pendidik di SMK Horley Methodist yang sentiasa komited mendidik anak bangsa dalam mendepani era digital,” katanya.



