Ramai Tanya, Mdno Kongsi Sebab Berhenti Kerja Tetap
Muhammad Noor atau lebih dikenali sebagai Mdno mendedahkan sebab sebenar di sebalik keputusannya untuk meletakkan jawatan daripada pekerjaan tetap.
Mdno dikenali ramai di media sosial kerana sering berkongsi ilmu kesihatan dengan cara santai dan mudah difahami yang menarik perhatian warganet.
Di sebalik persona ceria dan petah berbicara, tersimpan satu realiti yang dipikul iaitu tanggungjawab terhadap ibu tercinta.
Dalam satu hantaran Facebook (Pak Cik Bakar Baharom), beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk meletakkan jawatan bukanlah sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa.
Bahkan ia lahir dari desakan hidup dan keperluan menjaga ibunya yang kini mengalami strok dengan kos penjagaan yang bukan sedikit.
Kos penjagaan yang tinggi serta keterbatasan masa akibat komitmen kerja hakiki menjadi punca utama beliau mengambil keputusan tersebut.
Kos penjagaan bulanan mencecah ribuan ringgit
Kos paling besar adalah khidmat jururawat sepenuh masa yang bertugas setiap hari kecuali Ahad yang menelan belanja sekitar RM5,800 setiap bulan.
Selain itu, sesi fisiotepi berjumlah Rm1,450 untuk setiap 10 sesi, dijalankan sebanyak tiga kali, menjadikan jumlahnya lebih tinggi bagi rawatan berterusan.
Bagi keperluan harian seperti makanan untuk ibu bapa dan jururawat pula dianggarkan sekitar RM1,000 sebulan.
BACA: Meremang, Wanita Kongsi Pengalaman Seram Ketika Pergi Buat “Job” Henna
Manakala barangan keperluan asas seperti lampin pakai buang dan suplemen memerlukan sekitar RM500 sebulan.
“Dengan kos di atas, Mdno perlukan lebih pendapatan, tapi kalau kerja hakiki, Mdno selalu terpaksa tolak tawaran kerja sebab selalunya tawaran kerja tu berlaku pada hari dan waktu bekerja,” katanya.
Hal ini menjadikan situasi kewangan semakin mencabar kerana terikat dengan kerja yang memberinya pendapatan yang tetap setiap bulan.

“Ye, Mdno tahu sayang kan berhenti kerja bukan senang nak dapat kerja dan tawaran kerja yang datang tu bermusim, tak selamanya kau akan ada kerja tu.
“Tapi, apa pilihan yang Mdno ada? Mdno tak boleh terus terus korek tabung tanpa ada rancangan.
“Jadi pilihan yang paling baik ketika ini walaupun Mdno sedar ianya bukan yang terbaik untuk jangka masa panjang, tapi ini je lah jalan yang ada. Bila Mdno tak kerja, Mdno akan cuba kerja banyak-banyak supaya dapat tampung kos penjagaan mak.
“Sedih tak berhenti kerja? Sedih la. Mdno suka kerja Mdno dan sayang kerja Mdno. Tapi dalam hidup pilihan kena buat,” katanya lagi.
Mdno juga turut meminta warganet untuk mendoakan ibunya segera sembuh dan segala urusannya dipermudahkan.
“Rezeki Allah itu luas, percaturan-Nya memang cantik”
Rata-rata warganet di ruangan komen memberikan kata-kata semangat kepadanya dan ada juga yang turut berkongsi pengalaman yang lebih kurang.
“Dah banyak bukti depan mata. Siapa yang jaga mak sakit selalunya rezeki akan mencurah-curah sebab bukan semua anak mampu jaga mak,” kata seorang warganet.
“Ini pekerjaan paling mahal di dunia yang tak mampu dibayar dengan wang ringgit tetapi dengan ganjaran di akhirat,” kata seorang lagi warganet.
“Jujur cemburu tengok insan yang ada peluang berbakti pada ibu bapa saat mereka tiada kudrat, sebab bukan semua mampu dan berpeluang,” kata warganet.
BACA: Ini Situasi Yang Bakal Terjadi Pada Manusia Jika Bekalan Elektrik Terputus Tiba-Tiba
BACA: Stesen Keretapi Kuala Lumpur Diiktiraf Kelima Tercantik Di Dunia
Sumber: Pak Cik Bakar Baharom via Facebook