Pasukan Pancaragam SK Kuala Ketil Berentap Dalam Pertandingan Antarabangsa
Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil (SKKK) mencipta sejarah apabila kali pertama menyertai pertandingan pancaragam peringkat antarabangsa dalam Tangerang Open Marching Competition (TOMC) di Indonesia.
Lebih membanggakan apabila salah seorang pelajar berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Junior Colourguard Solo pada 3 Mei.
Izzat Ihsan yang merupakan murid tahun 5 itu berjaya mengharumkan nama sekolah dan negara walaupun pertama kali menyertai pertandingan terbabit.
Menurut Guru Besar SKKK, Izzat menjalani latihan intensif selama dua bulan sebelum merangkul trofi tempat ketiga.
BACA: SK Darulaman Height Harumkan Nama Malaysia Di WMSC 2024
Selain Izzat, pelajar-pelajar lain juga akan bertanding dalam kategori kumpulan yang berlangsung pada 4 Mei. Nama kumpulan pancaragam itu ialah Bombastic Band.
“Doakan kejayaan anak-anak SKKK ya sebab SKKK wakil tunggal dari Malaysia dan merupakan yang pertama kali dari sekolah rendah ke luar negara atas tujuan ini.
“Semoga memberi pengalaman terbaik kepada anak-anak peserta dan memberi inspirasi untuk penglibatan ke peringkat antarabangsa bagi acara-acara lain selepas ini.
“Terima kasih atas sokongan semua ke atas pembangunan kualiti prestasi anak-anak dan sekolah ke arah kegemilangan,” kata Guru Besar.
Dalam pada itu, Pejabat Pendidikan Daerah Baling turut berkongsi video yang memaparkan persediaan para pelajar SKKK sebelum berangkat ke pertandingan itu.
https://www.facebook.com/ppdbaling/videos/2018316111990857
Pertandingan yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mei itu disertai oleh 480 peserta dari 40 kelab pancaragam. Ia melibatkan peserta dari Indonesia, Filipina dan Malaysia.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Irwan berkata kehadiran wakil dari Malaysia dan Filipina adalah hasil kerjasama dengan Asian Drum Competition (ADC).
Memetik laporan Lensa Banten, pada awalnya Thailand sepatutnya mengambil bahagian dalam pertandingan itu tetapi tidak melakukannya kerana kebimbangan mengenai kapasiti peserta.
Juri yang akan menilai persembahan setiap peserta dilaporkan mempunyai pengiktirafan di peringkat Asia dan sering menjadi juri di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Tangerang, Maryono Hasan, mengucapkan terima kasih di atas penyertaan Malaysia dan Filipina dalam pertandingan itu.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil kedua-dua negara yang telah mengambil bahagian. Semoga ini menjadi pengalaman kami supaya kami dapat menganjurkannya dengan lebih baik,” katanya.
Sumber: Sekolah Kebangsaan Kuala Ketil, Pejabat Pendidikan Daerah Baling