Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Warna Haiwan Korban Yang Utama, Ini Penjelasan Mufti WP

Adib Haiqal
Warna Haiwan Korban
Kredit: Bernama

Warna Haiwan Korban Yang Utama, Ini Penjelasan Mufti WP

Ibadah korban merupakan salah satu syiar Islam yang dilaksanakan pada bulan Zulhijjah sebagai tanda ketaatan dan pengorbanan umat Islam kepada Allah SWT.

Dalam ibadah ini, umat Islam digalakkan memilih haiwan yang terbaik, sihat dan sempurna sebagai memenuhi tuntutan syarak.

Namun begitu, menjelang musim Aidiladha, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai sama ada warna haiwan korban mempunyai keutamaan tertentu.

Perkara ini sering menjadi perbincangan kerana terdapat tanggapan bahawa warna tertentu lebih afdal berbanding warna lain.

Bagi menjelaskan isu ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan penjelasan bagi merungkai kekeliruan masyarakat serta menghuraikan panduan sebenar dalam pemilihan haiwan korban menurut Islam.

Yang Mana Satu Warna Haiwan Korban Yang Utama?

Soalan:

Assalamualaikum. Benarkah terdapat jenis-jenis warna haiwan korban yang diutamakan berbanding warna lain ? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Pemilihan warna haiwan korban disunatkan mengikut keutamaan seperti turutan berikut:

  1. Putih

  2. Kuning

  3. Kelabu

  4. Merah

  5. Belang putih dan hitam

  6. Hitam

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Kriteria pemilihan haiwan korban yang utama adalah dari sudut sempurna fizikalnya mahupun keutamaan warnanya. Terdapat beberapa riwayat berkaitan permilihan warna haiwan korban.

Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

قَالَ: «ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ، وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا»

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor jantan kibasy (kambing biri-biri) putih kehitaman lagi bertanduk, Baginda menyembelih keduanya dengan tangannya, lalu mengucapkan basmallah serta bertakbir, dan Baginda meletakkan kakinya di antara leher dan badan kedua haiwan tersebut "

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Maksud “أَمْلَحَيْنِ” daripada الْأَمْلَحُ (amlah) menurut Ibn  al-‘Arabi  ialah putih bersih sementara al-Asma’i menyatakan putih bertompok warna kehitaman. [1] Sebahagian pendapat ulama lain menyatakan warna putih lebih banyak daripada hitam dan atasnya warna merah[2].

Sementara Imam al-Munawi menyatakan الْأَمْلَحُ (amlah) ialah  warna  putih dan hitam yang mana putihnya lagi banyak atau disebut  الأغبر (aghbar) atau warna hitam di celah bulunya   dan warna putihnya bersih seperti garam   atau atasnya warna kemerahan. Pemilihan sifat warna haiwan tersebut kerana elok penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Justeru itu, orang yang melaksanakan ibadah korban mestilah memilih jenis haiwan yang paling terbaik, sempurna fizikalnya dan paling gemuk[3].

Sementara Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyatakan pemilihan haiwan korban mengikut  keutamaan warna :

اسْتِحْبَابُ اسْتِحْسَانِ لَوْنِ الْأُضْحِيَّةِ وَقَدْ أَجْمَعُوا عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا أَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْغَبْرَاءُ وَهِيَ الَّتِي لَا يَصْفُو بَيَاضُهَا ثُمَّ الْبَلْقَاءُ وَهِيَ الَّتِي بَعْضُهَا أَبْيَضُ وَبَعْضُهَا أَسْوَدُ ثم السوداء

“Fuqaha mazhab Syafi’i menyatakan sunat memilih haiwan korban berdasarkan warna yang terbaik dan mereka bersepakat tentang perkara itu. Menurut ulama kami bahwa warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu iaitu tidak putih bersih, kemudian warna al-balqa’ iaitu sebahagian warna putih dan sebahagian warna hitam (belang) kemudian warna hitam[4].

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

دَمُ عفراءَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ دَمِ سَوداوين".

Maksudnya: “Darah binatang korban yang kulitnya berwarna kelabu lebih aku sukai berbanding dua ekor yang berwarna hitam”

Riwayat Ahmad

Warna الْعَفْرَاءُ ialah warna putih yang tidak terang, maka warna putih lebih afdal daripada warna lain. Selain warna putih juga masih sah dijadikan haiwan korban seperti yang dinyatakan dalam hadis Bukhari sembelihan haiwan kibasy yang berwarna amlah “أَمْلَح” / aghbarالأغبر (lebih banyak putih dari hitam)[5].

Sementara itu, fuqaha al-Bujairimi menambah warna merah dalam sususan keutaman pemilihan warna haiwan korban:

وَأَفْضَلُهَا الْبَيْضَاءُ ثُمَّ الصَّفْرَاءُ ثُمَّ الْعَفْرَاءُ ثُمَّ الْحَمْرَاءُ ثُمَّ الْبَلْقَاءُ ثُمَّ السَّوْدَاءُ

“Mengutamakan haiwan korban berwarna putih, kemudian kuning, kelabu, merah, seterusnya warna belang putih hitam dan hitam.”[6]

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, warna yang paling afdal haiwan sembelihan korban ialah putih, kemudian warna kuning, seterusnya warna kelabu, merah kemudian warna  belang putih hitam dan warna  kehitaman.