Seorang lelaki warga emas maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kediaman separuh kekal di Kampung Kuala Dong, Jalan Masuk Gesing, di sini malam tadi.
Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran rumah
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.56 malam.
Menurut JBPM Negeri Pahang menerusi kenyataan di Facebook, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama bantuan BBP Kuala Lipis, BBP Sungai Koyan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Gali digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman dan menyelamat.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan kira-kira 36 x 50 kaki dengan anggaran 80 peratus keseluruhan rumah terbakar.
Kebakaran melibatkan ruang tamu, dapur, bumbung serta beberapa bilik di dalam rumah berkenaan.
Dalam operasi itu, pasukan bomba mendapati seorang lelaki warga emas dipercayai terperangkap di ruang tamu sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dari rumah tersebut.
Mangsa dikenali sebagai Abdul Hamid bin Jaafar, 80, bekas pesara tentera, manakala isterinya, Norjah Rogayah Binti Yahya, 76, berjaya menyelamatkan diri.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan bekalan air daripada BBP Kuala Lipis menerusi kaedah relay pumping, selain bantuan anggota dan logistik daripada BBP Sungai Koyan serta PBS Kuala Gali.
Turut membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan RELA.
Pengarah JBPM Negeri Pahang, YS PKPjB Dato’ Mohd Razam bin Taja Rahim, bersama Timbalan Pengarah serta pegawai-pegawai kanan JBPM Negeri Pahang turut hadir bagi memantau dan memastikan operasi berjalan lancar.
Selepas kebakaran berjaya dikawal, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca api atau haba yang berpotensi menyebabkan kebakaran kembali merebak.
Operasi kemudiannya ditamatkan dan pasukan bomba turut membantu pihak penyiasat menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak Forensik Bomba.
JBPM Negeri Pahang menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut dan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan kebakaran di kediaman, khususnya dengan memastikan laluan keluar masuk sentiasa bebas daripada halangan serta memberi keutamaan kepada warga emas dan ahli keluarga yang memerlukan perhatian sekiranya berlaku kecemasan.

