Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wanita Tertinggal Telefon Di Kedai Buku, Gelagat Sekeluarga Pulangkannya Cuit Hati Ramai

Tertinggal Telefon
Kredit: Threads @mierazizz
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Kehilangan sesuatu barang sudah tentu boleh membuatkan seseorang risau, lebih-lebih lagi jika barang tersebut merupakan keperluan penting seperti telefon bimbit.

Iklan

Namun, perasaan risau itu pastinya bertukar menjadi lega apabila barang yang hilang ditemui semula, lebih-lebih lagi dengan bantuan individu yang jujur.

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh @mierazizz selepas telefonnya tertinggal di sebuah kedai buku ketika dia selesai menjalani sesi fotografi konvokesyen.

Menerusi satu hantaran di Threads, @mierazizz berkata dia hanya menyedari telefonnya tertinggal selepas keluar dari kedai buku BookXcess di MyTOWN dan masuk ke dalam kereta.

Bagaimanapun, nasib menyebelahinya apabila seorang lelaki bersama keluarganya menemui telefon tersebut sebelum menyerahkannya kepada pekerja di kaunter kedai.

Lebih menarik, selepas mendapatkan semula telefon berkenaan, dia memeriksa galeri dan mendapati individu yang memulangkannya sempat dirakam selama kira-kira 19 minit.

“Kejadian yang agak trauma. Lepas shoot pre-convo dekat BookXcess MyTOWN, sampai kereta baru perasan phone tak ada. Tengok galeri, ada orang rakam video selama 19 minit.

“Big thanks to abang, akak dan keluarga ni sebab pulangkan telefon saya dekat kaunter. Sumpah baik sangat, semoga Allah balas kebaikan abang sekeluarga.

“Terima kasih juga kepada akak kaunter BookXcess MyTOWN sebab baik dan okay je masa saya tuntut telefon, walaupun kedai dah nak tutup,” katanya.

Dalam video yang dikongsikan, seorang lelaki dilihat sedang membelek buku di rak sebelum menyedari terdapat sebuah telefon bimbit yang ditinggalkan di situ.

Dia kemudian kelihatan terkejut sebelum memeriksa keadaan sekeliling, seolah-olah cuba mencari pemilik telefon berkenaan.

Tidak lama kemudian, lelaki itu memanggil ahli keluarganya untuk menunjukkan telefon yang ditemuinya di celah rak buku tersebut.

Situasi bertambah mencuit hati apabila lelaki berkenaan bersama keluarganya sempat bergaya di hadapan telefon itu sebelum mengambil keputusan untuk menyerahkannya kepada pekerja kedai.

Malah, isterinya pada awalnya berpendapat mungkin pemilik telefon tersebut sengaja meninggalkannya di situ.

Namun, lelaki itu seakan-akan tidak bersetuju kerana menganggap agak mustahil seseorang sengaja meninggalkan telefon bimbitnya begitu sahaja.

Isterinya kemudian mengambil telefon tersebut dan memberitahu mahu menyerahkannya kepada pekerja di kaunter sebelum rakaman berkenaan terhenti.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terhibur melihat gelagat keluarga itu yang sempat bergaya di hadapan telefon sebelum memulangkannya kepada pemilik.

Ada juga yang memuji kejujuran mereka kerana tidak mengambil kesempatan walaupun telefon tersebut ditemui tanpa kehadiran pemiliknya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Seorang wanita menyedari telefonnya tertinggal selepas keluar dari BookXcess MyTOWN.
  • Sebuah keluarga menemui telefon itu di rak buku dan menyerahkannya kepada kaunter.
  • Rakaman kira-kira 19 minit menunjukkan gelagat keluarga itu sebelum telefon dipulangkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan