Menjadi satu kewajiban bagi setiap pemimpin untuk mempunyai sikap amanah dan telus dalam tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka terutama apabila memegang tampuk pemerintahan sesebuah negara.
Pastinya, setiap tingkah laku dan gerak-geri mereka akan sentiasa menjadi perhatian dan contoh kepada orang ramai.
Mereka juga perlu menjadi ‘anak jantan’ dan bertanggungjawab di atas setiap tindakan yang telah dilakukan.
Sama seperti bekas Menteri Pembangunan Antarabangsa Britain, Michael Bates yang mendapat pujian ramai kerana mempunyai sikap tanggungjawab walaupun kesalahan yang dilakukannya pada ketika itu mungkin dilihat kecil.
Tular kembali video mengenainya di TikTok, Bates telah mengejutkan orang ramai pada tahun 2018 kerana membuat keputusan meletak jawatan selepas datang lewat ke sidang Parlimen.

Menurutnya pada ketika itu, dia merasa ‘malu’ kerana gagal datang tepat pada waktunya.
“Saya benar-benar malu..”
“Sepanjang lima tahun berkhidmat untuk kerajaan, saya percaya bahawa kita perlu menjadi contoh yang baik dengan menunjukkan kesopanan dan rasa hormat.
“Saya benar-benar malu kerana lalai dan tidak berada di tempat saya pada waktu yang sepatutnya. Disebabkan itu, saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dengan segera, saya minta maaf,” katanya.
Detik ‘dramatik’ itu nyata mengejutkan ahli politik daripada parti konservatif dan pembangkang yang berada di situ pada ketika itu.

Peletakan jawatan ditolak
Beberapa orang di antara mereka juga menjerit ‘Jangan!’ sejurus Bates mengumumkan peletakan jawatan tersebut.
Sebelum itu, ahli Parlimen lain, John Taylor telah menjawab soalan yang sepatutnya dijadualkan untuknya, Bates hanya terlewat beberapa minit sahaja.
Pun begitu, hasratnya untuk meletakkan jawatan ditolak oleh Perdana Menteri Britain pada ketika itu, Theresa May, kerana mengganggap ia hanya kesalahan yang kecil.
Walaupun kejadian tersebut sudah lama, tetapi ia masih lagi diperkatakan. Ia merupakan satu tindakan yang amat jarang dilakukan oleh ahli politik.
Sumber: Tiktok_bulian, CNN