Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUANTAN, 9 Ogos (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) menzahirkan dukacita atas pemergian bayi pertama dilahirkan menerusi inisiatif TAFF, Jaden Samuel Desen.
Menurut hantaran Facebook Kesultanan Pahang mendiang Jaden yang meninggal dunia pada usia 20 tahun semalam ialah 'cucu pertama' baginda yang mendapat tempat istimewa dalam sejarah TAFF selepas dilahirkan hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Lebih menyentuh hati, ibu bapa mendiang, Jeremiah Vennga dan Phebe Shanty menanti selama 17 tahun sebelum dikurniakan cahaya mata melalui rawatan IVF bersama TAFF.
“Kelahiran Jaden pada 19 Jun 2006 selepas penantian yang panjang menjadi detik penuh bermakna buat pasangan berkenaan.
“Malah, turut menjadi satu kenangan istimewa buat TAFF sejak penubuhannya dengan objektif membantu pasangan yang berdepan masalah kesuburan untuk merealisasikan impian memiliki zuriat,” menurut hantaran itu.
Justeru, pemergian Jaden pada usia muda amat dirasai oleh baginda yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, dan mendoakan mereka supaya diberikan kekuatan, ketabahan dan kecekalan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Pemergian Jaden bukan sahaja merupakan kehilangan besar buat keluarganya, malah turut dirasai oleh warga TAFF yang menganggap anak yang dilahirkan melalui ikhtiar yayasan itu sebagai sebahagian daripada keluarga besar TAFF,” menurut hantaran itu.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan